
BANGI, 22 Ogos – Liew Kai Jack dari Pulau Pinang dan Hanis Firdaus Bashir dari Sarawak berkongsi pingat emas acara gelang individu lelaki selepas masing-masing mengumpul 12.050 mata pada final acara gimnastik artistik Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, hari ini.
- Anson Tan Yu Hang dari Pulau Pinang juara individu kekuda berpelana dengan 12.225 mata.
- Cadence Teh Zi Qi dari Selangor menang acara palang bertingkat individu dengan 11.633 mata.
- Yeap Kang Xian dari Perak raih emas acara individu melombol dengan 12.933 mata.
Pada saingan yang berlangsung di UKM itu, kedua-dua gimnas mencatatkan markah sama untuk berkongsi kedudukan teratas dan pingat emas, manakala pingat gangsa turut dikongsi Muhammad Khalish Safey Khairul Anwar dari Pahang dan Mann Chong Ming dari Selangor, selepas masing-masing merekodkan 11.625 mata.
Dalam acara individu kekuda berpelana pula, atlet Pulau Pinang, Anson Tan Yu Hang muncul juara selepas mengumpul 12.225 mata.
Marvell Vincent Yoo dari Sabah meraih perak dengan 11.775 mata, manakala wakil Selangor, Mann Chong Ming membawa pulang gangsa dengan 11.575 mata.
Sementara itu, gimnas Selangor, Cadence Teh Zi Qi muncul juara acara palang bertingkat individu selepas mengumpul 11.633 mata.
Rakan senegeri, Leong Yee Shean meraih perak dengan 10.500 mata, manakala Hanabi Mizuguchi dari Wilayah Persekutuan melengkapkan podium dengan 10.433 mata.
Dalam acara individu melombol pula, Yeap Kang Xian dari Perak meraih emas selepas mencatat 12.933 mata.
Marissa Zafiru Azzian dari Wilayah Persekutuan memenangi perak dengan 12.284 mata, manakala Eliza Adlan dari Perlis meraih gangsa dengan 11.850 mata.