Kehadiran ibu suntik semangat Adam raih emas kedua

Foto FB Majlis Sukan Negeri Kelantan

BANGI, 22 Ogos – Pingat emas kedua di pentas Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 cukup bermakna buat gimnas Kelantan, Nor Adam Haziq Nor Azaha apabila kejayaan itu disaksikan ibunya yang hadir buat kali pertama selepas sekian lama.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kehadiran ibu buat kali pertama selepas lama tak hadir jadi suntikan semangat untuk Adam.
  • Adam kongsi pingat emas acara senam lantai lelaki dengan Marvell Vincent Voo, masing-masing 13.050 mata.
  • Berjuang dengan kecederaan bahu, pergelangan tangan dan buku lali, hanya latihan seminggu namun tetap paksa diri dan makan ubat.

Adam berkongsi pingat emas acara senam lantai individu lelaki dengan gimnas Sabah, Marvell Vincent Voo selepas masing-masing mengumpul 13.050 mata, manakala gimnas Pulau Pinang, Chew You Wei meraih gangsa dengan 12.475 mata.

Lebih manis, kejayaan itu hadir ketika gimnas berusia 18 tahun berkenaan masih bergelut dengan kecederaan bahu, pergelangan tangan dan buku lali yang mengehadkan persiapannya sebelum temasya.

“Saya amat puas hati sebab keputusan saya pun tak berapa okey sangat, tetapi saya sudah cuba buat yang terbaik untuk negeri.

“Saya dapat emas ini untuk banggakan mak ayah saya. Mak saya pula datang dari jauh dan ini kali pertama dia datang selepas lama tak datang. Ia jadi suntikan semangat untuk saya,” katanya.

Adam yang membuat penampilan ketiga di SUKMA berkata, kejayaan meraih emas itu meneruskan koleksi medalnya di temasya berkenaan selepas sebelum ini membawa pulang satu emas, satu perak dan dua gangsa pada SUKMA Sarawak.

Bagaimanapun, dia mengakui terpaksa berdepan cabaran besar untuk beraksi di Selangor selepas hanya sempat menjalani latihan selama seminggu sebelum temasya.

“Saya bergelut sebab kecederaan. Saya berlatih seminggu saja sebelum SUKMA ini, saya paksa diri untuk kuat dan tahan walaupun sakit. Saya makan ubat dan teruskan juga,” katanya.

Adam masih mempunyai tiga acara untuk disertai esok iaitu palang sejajar, palang tunggal dan lombol.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.