Trafik penumpang antarabangsa meningkat 9.3% pada Julai – MAHB

Foto BERNAMA

SEPANG, 21 Ogos Trafik penumpang antarabangsa Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) meningkat 9.3 peratus bulan ke bulan kepada 4.5 juta pergerakan pada Julai 2026, disokong musim perjalanan musim panas di Eropah, Asia Barat dan sebahagian Asia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengembangan rangkaian perhubungan udara melalui pengenalan dua syarikat penerbangan baharu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
  • Trafik antarabangsa terus menjadi sokongan positif mengimbangi kelembapan trafik penumpang domestik.
  • MAHB menumpukan usaha memperkukuh kesalinghubungan, kesiapsiagaan lapangan terbang dan penambahbaikan pengalaman penumpang.

Menurut MAHB, peningkatan itu turut didorong oleh pengembangan rangkaian perhubungan udara dengan pengenalan dua syarikat penerbangan baharu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Secara keseluruhan, rangkaian lapangan terbang MAHB di Malaysia mengendalikan 8.0 juta pergerakan penumpang pada Julai, meningkat 4.6 peratus berbanding 8.0 juta pada Jun 2026,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Pengarah Urusan MAHB, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, trafik antarabangsa terus menjadi sokongan positif dalam mengimbangi kelembapan trafik penumpang domestik.

Katanya, walaupun trafik penumpang berubah mengikut pasaran dan tempoh tertentu, fokus MAHB kekal kepada usaha memperkukuh kesalinghubungan serta memastikan lapangan terbang bersedia memenuhi perubahan permintaan perjalanan.

“Penambahbaikan pengalaman penumpang turut diteruskan di seluruh rangkaian lapangan terbang, termasuk menerusi penambahan perkhidmatan syarikat penerbangan baharu,” katanya lagi.

Bagaimanapun, trafik domestik kekal lebih rendah pada 3.5 juta penumpang, susut 1.0 peratus berbanding Jun dan 19.8 peratus berbanding Julai 2025.

MAHB berkata, penurunan itu susulan langkah syarikat penerbangan mengoptimumkan kapasiti berikutan kos operasi dan perubahan permintaan pasaran.

“Keadaan itu menyebabkan jumlah keseluruhan pergerakan penumpang di lapangan terbang Malaysia pada Julai merosot 11.0 peratus tahun ke tahun,” jelas MAHB.

Bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, operasi MAHB di Malaysia mengendalikan 59.0 juta penumpang, hampir sama dengan tempoh sama tahun lalu.

“Trafik antarabangsa meningkat 6.1 peratus tahun ke tahun dalam tempoh berkenaan, manakala trafik domestik susut 6.7 peratus.

“KLIA mengendalikan 5.0 juta penumpang pada Julai, meningkat 6.6 peratus berbanding Jun. Secara kumulatif, trafik KLIA mencapai 36.7 juta penumpang, meningkat 3.4 peratus berbanding tempoh sama pada 2025,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.