
BANGI , 21 Ogos – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau telah mengutus surat rasmi kepada Presiden Indonesia, Prabowo Subianto bagi memohon perhatian khusus terhadap pelaburan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) di negara itu, khususnya melibatkan isu syarikat PT Eagle High Plantations Tbk (EHP).
- Isu EHP masih tersangkut di Mahkamah Tertinggi Indonesia.
- Kerugian jika tidak ditangani dianggarkan 2.5 bilion, pulangan mungkin sekitar 200 juta.
- Kes EHP contoh skandal pelaburan, mencatat kerugian berbilion ringgit yang tidak harus berulang.
- Pada April 2019 FELDA buat laporan polis dakwa ditipu dalam jual beli saham EHP pada AS$505 juta.
”Sekarang tersangkut di Mahkamah Tertinggi Indonesia. Saya telah menulis kepada Presiden Prabowo Subianto meminta beliau melihat juga permasalahannya.
“Kerugian kalau tidak ditangani, RM2.5 bilion. Yang mungkin yang kita perolehi nanti RM200 juta”, katanya ketika berucap pada Sesi Ramah Mesra Tertutup Pengurusan Tertinggi dan Pengurus FELDA di Bangi, Selangor.
Beliau berkata, kes EHP antara contoh skandal pelaburan mencatat kerugian berbilion ringgit yang tidak patut berlaku lagi.
Pada April 2019, FELDA dilaporkan membuat laporan polis mendakwa ditipu dalam urusan jual beli saham EHP pada harga AS$505 juta berbanding harga sebenar di pasaran pada Disember 2016.
Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar berkata pengumuman rasmi berkaitan isu pengurusan FELDA, bakal dibuat selepas memperoleh laporan lengkap Pasukan Petugas Khas.
Perdana Menteri ketika memaklumkan perkara itu berkata pasukan petugas khas telah memulakan siasatan dengan dapatan dijangka dibentangkan dalam tempoh terdekat.
“Aspeknya merangkumi semua perkara mengenai pengurusan, tentunya mengenal pasti permasalahan, namun yang penting adalah pengurusan kini serta langkah-langkah ke depan,” katanya lagi.
Datuk Seri Anwar turut menambah siasatan itu meliputi keseluruhan aspek pengurusan termasuk tumpuan kepada usaha menambah baik pengurusan semasa.