
TAMING SARI, 21 Ogos – Seramai 80,000 pengunjung disasar menghadiri sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Melaka yang dijadual berlangsung di Dataran Klebang di sini pada 31 Ogos.
- 5,000 lot parkir dan 2,000 kerusi disediakan untuk memudahkan pergerakan pengunjung.
- Aktiviti menarik termasuk demonstrasi serangan komando, pertunjukan terjunan bebas dan 8,296 peserta daripada 157 kontinjen.
- Aset Tentera Laut Diraja Malaysia dipamerkan berhampiran pesisir, shuttle bas disediakan, Datuk Seri Ab Rauf menyeru orang ramai hadir.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata sebanyak 5,000 parkir kereta dan 2,000 kerusi akan disediakan bagi memudahkan pergerakan pengunjung pada hari sambutan.
Tambah beliau, pelbagai aktiviti menarik bakal dianjurkan termasuk demonstrasi serangan komando, pertunjukan terjunan bebas selain, seramai 8,296 individu daripada 157 kontinjen terlibat dalam acara perarakan.
“Istimewa sambutan kali ini kerana akan ditampilkan aset Tentera Laut Diraja Malaysia kepada orang ramai dengan lokasi penganjuran berhampiran pesisir laut.
“Justeru, saya menyeru rakyat Melaka tidak melepaskan peluang keemasan ini dengan menghadiri sambutan nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri slot segmen ‘Dak Rauf Masuk Konti’ di Melakafm di sini.
Katanya lagi, perkhidmatan shuttle bas akan turut disediakan kepada pengunjung pada hari sambutan.