
KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Jabatan Imigresen berjaya menumpaskan sindiket dipercayai menjalankan kegiatan penipuan dalam talian termasuk ‘love scam’ serta penjualan barangan palsu dalam operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Nilai, Negeri Sembilan, Rabu lepas.
- Kediaman mewah terpencil dijadikan pusat operasi sindiket sejak awal tahun.
- Sindiket dipercayai mampu mengaut keuntungan sehingga USD 50,000.
- Mengurus kemasukan warga asing menggunakan Pas Lawatan Sosial dan pasport berganda untuk elak disenarai hitam di pemeriksaan.
- Menggunakan Telegram dan WhatsApp untuk love scam serta penjualan barangan palsu, mensasarkan mangsa di luar negara.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban dalam kenyataan menyatakan sindiket terbabit dipercayai beroperasi sejak awal tahun dengan menjadikan sebuah kediaman mewah di lokasi terpencil di Taman Desa Melati, Nilai sebagai pusat operasi.
“Sindiket dipercayai mampu mengaut keuntungan sehingga USD 50,000.
“Pasukan operasi telah berjaya menahan seorang individu tempatan dan dua warga China berusia antara 50 hingga 53 tahun di KLIA.
“Siasatan awal mendapati sindiket berkenaan telah menguruskan kemasukan warga asing ke Malaysia dengan menyasarkan warga China yang telah disenarai hitam.
“Suspek yang telah disenarai hitam dipercayai mempunyai dua pasport China yang berbeza nombor dan pasport yang tidak disenarai hitam digunakan ketika melalui pemeriksaan di e-Gate di KLIA.
“Hasil soal siasat membawa ke lokasi di Taman Desa Melati, Nilai dan ‘dalang utama’ iaitu tiga warga China serta seorang warga Rusia, ditahan,”menurut kenyataan itu lagi.
Turut ditahan ialah ‘ahli sindiket’ terdiri daripada sembilan lelaki dan seorang wanita warga China serta masing-masing seorang warga Vanuatu dan Pakistan, selain masing-masing seorang warga India dan Myanmar.
“Semakan awal mendapati kesemua warga asing berkenaan memasuki Malaysia menggunakan Pas Lawatan Sosial (PLS).
“Sindiket itu dipercayai menggunakan Telegram dan WhatsApp untuk memperdaya mangsa menerusi taktik love scam serta penjualan barangan palsu, dengan sasaran mangsa di luar negara,”katanya.
Dalam operasi berkenaan, Jabatan Imigresen turut menyita antaranya 32 pasport China, masing-masing sebuah pasport Myanmar, India, Vanuatu dan Rusia, 11 set komputer meja, sebuah komputer riba, 44 telefon bimbit, sebuah kenderaan serta wang tunai RM4,800 yang dipercayai hasil kegiatan berkenaan.