
KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Kualiti udara negara merosot dengan enam kawasan di Sarawak mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat tengah hari Khamis, susulan pergerakan asap jerebu rentas sempadan dari pelbagai arah.
- Bacaan IPU tertinggi: Serian 193, Kuching 190, Sri Aman 178, Samarahan 173, Sarikei 153, Sibu 108.
- 40 kawasan catat kualiti udara sederhana, manakala 22 kawasan dilaporkan berada pada tahap baik.
- ASMC mengesan 489 titik panas di Kalimantan, 19 di Sumatera dan 11 dalam negara.
- JAS meningkatkan penguatkuasaan dan rondaan harian, sambil memantau IPU; liputan penuh dihalang oleh litupan awan.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Azuri Azizah Saedon menerusi satu kenyataan, bacaan tertinggi direkodkan di Serian iaitu 193, diikuti Kuching 190, Sri Aman 178, Samarahan 173, Sarikei 153 dan Sibu 108.
Sebanyak 40 kawasan lain mencatatkan status kualiti udara pada tahap sederhana, manakala 22 kawasan berada pada tahap baik.
Berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) bertarikh 19 Ogos, sebanyak 489 titik panas dikesan di Kalimantan, 19 di Sumatera dan 11 dalam negara, masing-masing dua di Sabah dan sembilan di Sarawak.
Peta Jerebu Serantau ASMC hari ini menunjukkan kepulan asap rentas sempadan sederhana hingga padat berpunca daripada kelompok titik panas di Kalimantan Barat dan bergerak ke arah utara memasuki bahagian barat Sarawak.
“Kepulan asap sederhana hingga padat turut diperhatikan berpunca daripada kelompok titik panas di kebanyakan kawasan di Kalimantan, manakala kepulan asap ringan setempat dikesan berpunca daripada titik panas di bahagian selatan Sumatera,” katanya.
Dalam pada itu, beberapa stesen pengawasan kualiti udara di Kalimantan Barat dan Kalimantan Selatan serta bahagian barat dan tengah Sarawak turut merekodkan bacaan pada tahap tidak sihat.
“Liputan penuh situasi titik panas dan jerebu di rantau ini masih tidak dapat ditentukan berikutan litupan awan. Sehubungan itu, JAS meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan aktiviti rondaan harian di kawasan yang berpotensi berlaku pembakaran terbuka, selain memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa,”jelasnya lagi dalam kenyataan sama.