Latihan di Beijing bantu Koh Ming raih emas SUKMA buat P. Pinang

 Tang Koh Ming/ RTM

SHAH ALAM, 20 Ogos- Pengalaman menjalani latihan di Universiti Beijing Sport (BSU), China membantu atlet wushu Pulau Pinang, Tang Koh Ming memperbaiki kelemahan untuk meraih pingat emas acara changquan wanita pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Latihan di BSU memberi pendedahan kepada pendekatan berbeza untuk memperincikan aspek teknikal dan memperbaiki kelemahan.
  • Ramai jurulatih di Beijing dapat mengenal pasti kelemahan dari sudut berbeza, memberikan input paling berharga.
  • Koh Ming mempamerkan gerakan memukau dan mengumpul mata tertinggi 9.520; pingat perak milik Coleen Ceah dengan 9.496.
  • Tempoh dua tahun selepas SUKMA Sarawak mematangkan Koh Ming, terutama dalam mengawal rasa gementar; beliau belajar Ekonomi dan Pengurusan Sukan di BSU sejak 19.

Koh Ming, 21, berkata latihan bersama jurulatih di BSU memberinya pendedahan kepada pendekatan berbeza dalam memperincikan aspek teknikal, sekali gus membantunya memperbaiki pencapaian selepas meraih gangsa pada SUKMA Sarawak 2024.

“Tahap kemahiran di Beijing sangat tinggi dan memberi peluang kepada saya memperbaiki kelemahan melalui pelbagai pendekatan serta perspektif.

“Ramai jurulatih di sana dapat mengenal pasti kelemahan atlet dari sudut yang berbeza. Itulah input paling berharga yang saya peroleh sepanjang menjalani latihan di Beijing,” katanya.

Pada aksi final yang berlangsung di Ideal Convention Center Shah Alam (IDCC) di sini, Koh Ming mempamerkan gerakan memukau untuk mengumpul mata tertinggi 9.520 keseluruhan manakala pingat perak menjadi milik seorang lagi wakil Pulau Pinang Coleen Ceah Weiqi yang mengutip 9.496 mata.

Koh Ming yang juga penuntut bidang Ekonomi dan Pengurusan Sukan di BSU berkata tempoh dua tahun selepas SUKMA Sarawak banyak mematangkan dirinya, terutama dalam mengawal rasa gementar ketika bertanding.

Beliau menyambung pengajian di universiti berkenaan sejak berusia 19 tahun selepas menamatkan persekolahan di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Perempuan China Pulau Pinang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.