SUKMA 2026: Aina Zahara ungguli 50m rifle tiga posisi

Aina Zahara Baharum/ RTM

SUBANG, 20 Ogos- Atlet menembak Negeri Sembilan, Aina Zahara Baharum menamatkan penantian empat tahun untuk meraih pingat emas acara 50 meter (m) rifle tiga posisi individu wanita pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 di Lapang Sasar Negara Subang, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Aina Zahara mengumpul 344.2 mata untuk muncul juara, mengatasi Nor Alya (340.6) dan Ainul Mardhiah (330.7).
  • Sokongan keluarga, rakan dan pasukan menjadi sumber kekuatan, membantu beliau kekal bersemangat dan tidak berputus asa.
  • Kemenangan itu menjadi penampilan terakhir SUKMA sebelum beliau meneruskan pengajian Sains Statistik di Universiti Putra Malaysia.

Pingat itu diraih pada penampilan ketiganya di pentas SUKMA selepas dua edisi terdahulu.

Aina Zahara, 20, berkata sokongan keluarga, rakan dan pasukan menjadi sumber kekuatan untuknya terus bertahan sehingga berjaya mencapai sasaran emas.

“Ini adalah satu kebangkitan buat saya selepas lama dalam bidang menembak. Semangat serta sokongan daripada negeri, keluarga, rakan dan orang terdekat yang sentiasa bersama saya membuatkan saya tidak pernah berputus asa walaupun ada ketika saya rasa mahu mengalah,” katanya.

Dalam saingan akhir, Aina Zahara mengumpul 344.2 mata untuk muncul juara, mengatasi penembak dari Perak, Nor Alya Aqila Mahathir yang meraih perak dengan 340.6 mata, manakala gangsa menjadi milik seorang lagi wakil Perak, Ainul Mardhiah Mohd Yusri dengan 330.7 mata.

Aina Zahara berkata beliau sempat kehilangan keyakinan selepas melalui beberapa acara sebelum ini, namun berjaya bangkit dalam tempoh 24 jam sebelum saingan.

“Memang sasaran saya adalah emas, tetapi selepas beberapa acara sebelum ini, saya agak hilang keyakinan.

“Namun, saya cuba bangkit dalam tempoh 24 jam dan tekad pada diri sendiri bahawa hari ini mesti menjadi milik saya,” katanya.

Beliau berkata kehadiran jurulatih, rakan sepasukan dan sahabat di sisinya turut membantu mengekalkan ketenangan serta fokus ketika berdepan tekanan daripada penembak dari Perak.

Kemenangan itu menjadi penampilan terakhirnya di pentas SUKMA sebelum beliau meneruskan karier sambil melanjutkan pengajian dalam bidang Sains Statistik di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.