SUKMA 2026: Pahang ungguli acara 10m air pistol berpasukan campuran

Cheah Zen Hong dan Damia Hani Mohamad Sakran/ RTM

SUBANG, 20 Ogos- Penembak Pahang, Cheah Zen Hong dan Damia Hani Mohamad Sakran merangkul pingat emas acara 10 meter (m) air pistol berpasukan campuran pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 di Lapang Sasar Negara Subang, di sini hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kawal emosi dan kekal fokus menjadi kunci kemenangan pasukan.
  • Kejayaan itu adalah gelaran juara campuran SUKMA pertama selepas perak edisi Sarawak.
  • Seorang penembak berpeluang melebihi tujuh pingat dengan dua acara baki, tetap fokus walau prestasi sebelum ini kurang memuaskan.

Gandingan itu mengumpul 472.1 mata untuk menewaskan pasangan Sarawak, Cynthia Grace Jesefilda dan Justin Joannes Kelukin yang meraih perak dengan 454.9 mata, manakala gangsa menjadi milik wakil Terengganu, Wan Nur Anissa Wan Nazri dan Eujuinn Toh dengan 385.2 mata.

Mengulas kejayaan itu, Zen Hong berkata keupayaan mengawal emosi dan mengekalkan tumpuan menjadi kunci kemenangan mereka.

“Kami tahu kemampuan dan tahap masing-masing. Jadi, kami hanya perlu kekal tenang, fokus dan mengawal emosi sepanjang pertandingan.

“Walaupun melakukan tembakan dengan baik, kami tetap perlu kembali fokus dan saya rasa itulah strategi kami,” katanya.

Bagi Damia, kejayaan itu cukup istimewa kerana ia merupakan gelaran juara pertamanya dalam acara berpasukan campuran di pentas SUKMA selepas sekadar meraih perak pada edisi Sarawak dua tahun lalu.

“Debaran memang ada, tetapi saya cuba kawal dan tidak terlalu memikirkannya. Saya hanya nikmati setiap tembakan dan berikan yang terbaik.

“Zen Hong juga pesan supaya saya kekal tenang dan tidak terlalu tertekan,” katanya.

Kejayaan itu turut membuka peluang buat Zen Hong melepasi pencapaian tujuh pingat yang diraihnya pada edisi Sarawak, dengan dua lagi acara iaitu 25m sport pistol individu dan berpasukan lelaki dijadualkan esok.

Zen Hong mengakui terdapat beberapa acara sebelum ini yang tidak mencapai sasaran, namun enggan membiarkannya menjejaskan persiapannya untuk baki pertandingan.

“Sepanjang pertandingan ini, ada beberapa acara yang saya rasa kurang baik. Walau bagaimanapun, saya tetap cuba fokus sehingga acara terakhir dan akan berjuang sehabis baik untuk menyumbang lebih banyak pingat buat Pahang,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.