
SERDANG, 20 Ogos- Penantian 28 tahun Pulau Pinang untuk meraih emas acara 4×400 meter (m) lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) berakhir apabila kuartet negeri itu mencipta rekod baharu kejohanan pada SUKMA Selangor 2026, hari ini.
- Kuartet Pulau Pinang (Y Denishwar, K Venket Prabu, Muhamad Farhan, Muhammad Sayyid Amin) catat rekod kejohanan 3:11.84 saat.
- Rekod lama Johor 3:12.35 dari SUKMA Sarawak 2024 dipadamkan oleh Pulau Pinang.
- Keempat-empat atlet bawah 19 tahun pertama kali digandingkan dan tidak pernah latihan bersama sebelum temasya.
- Sayyid Amin anggap kemenangan sebagai rezeki dan permulaan baik buat skuad olahraga Pulau Pinang.
Kuartet dibarisi Y Denishwar, K Venket Prabu, Muhamad Farhan Mohd Isrulnizam dan Muhammad Sayyid Amin Roslan itu mencatat masa 3:11:84 saat untuk memadam rekod lama milik Johor iaitu 3:12.35 saat yang dilakukan pada SUKMA Sarawak 2024.
Lebih menarik, keempat-empat pelari berusia bawah 19 tahun itu baru pertama kali digandingkan sebagai satu pasukan dan tidak pernah menjalani latihan bersama sebelum temasya kali ini.
Sayyid Amin menyifatkan kejayaan berkenaan sebagai rezeki dan permulaan baik buat skuad olahraga Pulau Pinang.
“Alhamdulillah, kalau bukan rezeki kami, kami tidak akan menang dan memecahkan rekod ini. Segalanya rezeki dan kami bersyukur dengan apa yang diberikan.
“Ini satu petanda yang sangat baik kerana Pulau Pinang sebelum ini tidak pernah memenangi acara lari berganti-ganti di SUKMA.
“Kami turun sebagai satu pasukan dan berjaya mencipta sejarah baharu,” katanya.
Selangor meraih pingat perak dengan catatan 3:13.52 saat, manakala Kedah membawa pulang gangsa selepas mencatat 3:14.09 saat.