
KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Pemandu lori Jabatan Imigresen, Mohd Akbar Zainol, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini atas lima pertuduhan termasuk menyebabkan kematian tiga sekeluarga dalam kemalangan di persimpangan Jalan Sultan Ismail, 19 Ogos lalu.
- Tertuduh membuat pengakuan selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan majistret.
- Didakwa tiga pertuduhan memandu berbahaya menyebabkan kematian, satu sebabkan kecederaan pejalan kaki, dan gagal patuhi lampu isyarat.
- Mahkamah tetapkan jaminan RM12,000 setiap pertuduhan (jumlah RM60,000), pelaporan bulanan, gantung lesen, prosiding 27 Okt 2026.
Tertuduh membuat pengakuan itu selepas kesemua kertas pertuduhan dibacakan di hadapan majistret Aliaa Anwar.
Bagi tiga pertuduhan pertama, Mohd Akbar didakwa memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Shaik Mohd Firdaus Shaik Yahya, Siti Nurshazlin Shaik Mohd Firdaus dan Siti Darwisyah Auni Shaik Mohd Firdaus.
Ketiga-tiga pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020).
Bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan terhadap seorang pejalan kaki dan pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
Sementara itu, bagi pertuduhan kelima, tertuduh didakwa gagal mematuhi isyarat lalu lintas apabila melanggar lampu isyarat di Jalan Sultan Ismail.
Mengikut pertuduhan, tertuduh dipercayai gagal menghentikan kenderaan berkenaan ketika lampu isyarat merah sebelum merempuh sebuah kenderaan lain dan seterusnya melanggar tiga mangsa yang sedang berjalan kaki.
Dalam prosiding sama, pihak pembelaan memohon jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin, selain mencadangkan tertuduh melapor diri sebulan sekali serta pasport diserahkan kepada mahkamah.
Mahkamah bagaimanapun menetapkan jumlah jaminan sebanyak RM12,000 bagi setiap pertuduhan, dengan seorang penjamin, menjadikan jumlah keseluruhan jaminan RM60,000.
Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan supaya tertuduh melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran dan lesen memandunya digantung berkuat kuasa hari ini sehingga kes selesai.
Prosiding seterusnya ditetapkan pada 27 Oktober 2026 bagi penyerahan dokumen berkaitan kes.