
KLANG, 20 Ogos – Seorang sukarelawan operasi tangkapan anjing liar dan suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, masing-masing atas pertuduhan menjerut dan menarik seekor anjing sehingga mengakibatkan kesakitan terhadap haiwan itu, bulan lepas.
- Muhammad Shah didakwa menjerut anjing jantan dengan tali sehingga menyebabkan kesakitan.
- Roghini didakwa menarik anjing yang sama sehingga menyebabkan kesakitan terhadap haiwan itu.
- Pertuduhan dibawa di bawah Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015, hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara tiga tahun.
- Mahkamah membenarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin, syarat lapor diri bulanan ke pejabat JPV dan sebutan semula 8 Okt.
Muhammad Shah Idham Nor Haikal Shaharom, 24, dan S. Roghini Devi, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mujib Saroji.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Shah didakwa secara tidak munasabah telah menjerut seekor anjing jantan menggunakan tali sehingga menyebabkan kesakitan ke atas haiwan itu.
Roghini pula didakwa secara tidak munasabah menarik anjing yang sama sehingga menyebabkan kesakitan kepada haiwan tersebut.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di hadapan sebuah rumah di Jalan Sama Gagah 20, Taman Telok Gedung Indah, Pelabuhan Klang antara 11 hingga 11.30 malam 29 Julai.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 29(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Selangor Mohd Sharif Sabran menawarkan jaminan RM20,000 bagi setiap tertuduh berserta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri ke pejabat JPV negeri.
Bagaimanapun, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Muhammad Shah Idham dan peguam Jeremy Vinesh Anthony mewakili Roghini, masing-masing memohon jaminan minimum RM3,500 atas alasan anak guam mereka memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan.
Mahkamah membenarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin kepada mereka berserta syarat melaporkan diri di pejabat JPV Selangor setiap bulan dan menetapkan 8 Okt untuk sebutan semula kes.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret, Roghini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memelihara seekor anjing berusia lebih tiga bulan tanpa lesen sah daripada Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).
Kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi dan masa yang sama dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 3 Undang-Undang Kecil Pelesenan Anjing dan Rumah Pembiakan Anjing (Majlis Perbandaran Klang) 2007, yang memperuntukkan denda maksimum RM2,000 atau penjara hingga setahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Majistret A. Karthiyayini membenarkan jaminan RM1,000 dan menetapkan 8 Okt untuk sebutan semula kes. – BERNAMA