
KOTA BHARU, 20 Ogos – Tujuh pendatang tanpa izin (PATI) warga Myanmar ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang membawa mereka dipintas menerusi Op Taring Wawasan Kelantan, di sini, semalam.
- PATI dipercayai membayar RM10,000 seorang kepada ejen di Myanmar, dijanjikan pekerjaan sebagai buruh.
- Pemandu tempatan mengaku menerima upah RM800 bagi setiap penghantaran ke Gua Musang.
- PGA merampas kenderaan, sembilan telefon, wang tunai dan kunci; nilai rampasan dianggarkan RM84,079, diserahkan kepada polis.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, seorang pemandu lelaki tempatan berusia 36 tahun turut ditahan.
Jelas beliau, tujuh PATI itu terdiri daripada enam lelaki dan seorang wanita dengan kesemuanya gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.
Mereka dipercayai memasuki Malaysia dari Thailand melalui Pulau Besar, Tumpat sebelum dibawa menggunakan kenderaan darat.
“Siasatan awal mendapati pemandu itu mengaku menerima upah RM800 bagi setiap penghantaran untuk membawa kumpulan berkenaan ke Gua Musang.
“Tujuh PATI itu pula dipercayai membayar RM10,000 seorang kepada ejen di Myanmar dan dijanjikan pekerjaan sebagai buruh,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, anggota PGA mengesan kereta berkenaan dalam keadaan mencurigakan di Jalan Kampung Laut, Tumpat menghala ke Jalan Palekbang.
Kenderaan itu kemudian diekori sehingga ke lampu isyarat Jalan Sultan Yahya Petra menghala ke Kubang Kerian sebelum diarah berhenti.
“PGA merampas kenderaan tersebut, selain sembilan telefon bimbit, wang tunai dan satu unit kunci.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM84,079,” jelasnya.
Semua tahanan dan barang rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.