
KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) bukan sekadar pentaksiran bagi mengukur pencapaian murid atau menjadi penanda aras kedudukan atau ranking sesebuah negara, sebaliknya alat bagi merancang transformasi sistem pendidikan negara.
- PISA membolehkan kerajaan menilai sama ada proses pendidikan negara setanding standard antarabangsa.
- Penekanan PISA ialah menilai keberkesanan inisiatif strategik sistem pendidikan, bukan berlumba untuk peringkat kedudukan.
- Pencapaian murid dalam PISA menunjukkan kemahiran berfikir aras tinggi, kebolehan menaakul dan mengaplikasi ilmu.
- Peranan ibu bapa penting: sediakan peranti, ruang belajar kondusif dan sokongan rumah kerana pembelajaran bermula dari rumah.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Mohd Azam Ahmad berkata, penyertaan Malaysia dalam PISA yang turut dianggotai negara-negara maju membolehkan kerajaan menilai sama ada proses pendidikan negara berada pada standard antarabangsa.
Beliau menegaskan bahawa penekanan utama PISA bukannya untuk berlumba-lumba mengungguli kedudukan carta, sebaliknya ia memberikan gambaran menyeluruh tentang keberkesanan inisiatif strategik yang telah dilaksanakan.
“PISA ini secara rumusnya, bukan untuk melihat ranking, kedudukan, atau nak berlumba dengan negara lain, tetapi untuk kita melihat bagaimana sistem pendidikan yang telah kita bina. PISA adalah alat untuk kita merancang sistem pendidikan yang terbaik untuk anak bangsa dalam kita membina negara bangsa ini,” katanya.
Datuk Dr. Mohd Azam berkata demikian ketika ditemui selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia, di Angkasapuri Kota Media.
Tambahnya, pencapaian murid dalam PISA memberi isyarat jelas kepada dunia bahawa sistem pendidikan negara berjaya melahirkan generasi yang memiliki kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT), mampu menaakul, dan mengaplikasikan ilmu.
Keupayaan ini, menurut beliau, bukan sahaja membuktikan kualiti modal insan negara secara holistik, malah mampu memberi keyakinan kepada pelabur asing dari negara maju untuk melabur di Malaysia.
Mengulas tentang peranan ibu bapa, Datuk Dr. Mohd Azam menegaskan bahawa kejayaan murid dalam pentaksiran tersebut berkait rapat dengan peranan ibu bapa sendiri kerana proses pembelajaran bermula dari rumah.
“Saya percaya ibu bapa pada hari ini memberikan penekanan yang tinggi terhadap pembelajaran anak-anak. Justeru, ibu bapa yang berkemampuan disaran menyediakan peranti atau tablet (komputer) bagi membolehkan anak-anak membiasakan diri dengan teknologi, memandangkan pentaksiran PISA memerlukan murid menjawab soalan menggunakan komputer selama dua jam.
“Selain itu, kita juga ingin melihat bagaimana peranan ibu bapa dalam menyediakan persekitaran pembelajaran yang selesa di rumah, termasuk ruang belajar yang kondusif dan kemudahan buku rujukan, yang menjadi input penting dalam pentaksiran PISA ini,” tambah beliau.