640 pegawai, anggota AKPS ditempatkan di RTS Bukit Chagar Oktober ini

Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain di Kompleks Bersepadu Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ), Bukit Chagar / Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU, 18 Ogos – Seramai 640 pegawai dan anggota Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) akan ditempatkan di Kompleks Bersepadu Kastam, Imigresen dan Kuarantin (ICQ) Bukit Chagar, mulai Oktober ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • 400 pelatih PULAPOL tamat latihan hujung September, akan jalani fasa pembiasaan dan pengujian selama tiga bulan.
  • Pembiasaan Oktober hingga Disember untuk uji kekerapan perkhidmatan, kestabilan mesin pengimbas dan kesiapsiagaan mengurus aliran penumpang tinggi.
  • Pejabat AKPS di ICQ gabungkan enam agensi, manakala RTS dijangka kendalikan sehingga 10,000 penumpang sejam dan operasi penuh pada 1 Jan 2027.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, jumlah itu termasuk 400 pelatih yang sedang menjalani latihan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Segamat yang akan tamat pada hujung September, sebelum menjalani fasa pembiasaan dan pengujian selama tiga bulan.

Beliau berkata tempoh Oktober hingga Disember akan digunakan untuk membiasakan anggota sebagai persediaan pengoperasian RTS Link Johor Bahru – Singapura.

“Bulan Oktober, November dan Disember adalah program pembiasaan. Akan ada peringkat pengujian. Kita akan melihat kekerapan dan konsistensi perkhidmatan kereta api, selain memastikan mesin pengimbas kita stabil atau tidak,” katanya ketika ditemui selepas mengiringi Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pada Lawatan Kerja ke ICQ, Bukit Chagar di sini, hari ini.

Menurut Datuk Seri Mohd Shuhaily, fasa pembiasaan itu penting bagi memastikan semua anggota benar-benar bersedia menghadapi operasi sebenar, termasuk mengurus aliran penumpang yang tinggi di kompleks berkenaan.

Katanya, pejabat AKPS di ICQ Bukit Chagar adalah pertama menggabungkan enam agensi penguatkuasaan AKPS di bawah satu bumbung.

AKPS menjangkakan kemudahan RTS mampu mengendalikan sehingga 10,000 penumpang sejam, sekali gus memerlukan tahap kesiapsiagaan dan kecekapan anggota yang tinggi.

RTS Link Bukit Chagar-Woodlands dijadualkan beroperasi sepenuhnya pada 1 Januari 2027 dan dijangka membantu mengurangkan kesesakan di Tambak Johor menerusi hubungan pengangkutan rentas sempadan yang lebih pantas dan cekap.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.