
ROMPIN, 18 Ogos – Peranan dan suara masyarakat orang asli terus diiktiraf dalam pembangunan negara.
- Peningkatan pelajar Orang Asli ke universiti menunjukkan kejayaan usaha JAKOA dan Kementerian Pendidikan meningkatkan mobiliti sosial.
- Kelulusan lebih 20 jawatan JPKKOA memperkukuh kepimpinan masyarakat Orang Asli di peringkat akar umbi.
- Kerajaan memperuntukkan RM412 juta untuk pembangunan sosioekonomi, pendidikan, kemahiran, kebajikan dan infrastruktur Orang Asli tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kecemerlangan masyarakat orang asli membuktikan komuniti itu telah beralih ke suatu fasa hidup yang semakin baik.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, usaha itu telah diperkasa melalui gerak kerja strategik dan kesepaduan di antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.
“Patik mohon sembah untuk memaklumkan bahawa tahun lepas, anak-anak orang asli yang masuk ke universiti untuk membuat diploma dan ijazah telah meningkat daripada 400 orang pada tahun sebelum itu kepada lebih 600 orang.
“Ini memperlihatkan usaha JAKOA dan Kementerian Pendidikan untuk meningkatkan mobiliti sosial secara vertikal bagi masyarakat Orang Asli”, katanya dalam Majlis Perasmian Kenduri Rakyat Sempena Sambutan Hari Orang Asli Tahun 2026 di Padang Awam, Kampung Orang Asli Sungai Mok, Rompin.
Perkembangan itu membuktikan usaha Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bersama Kementerian Pendidikan untuk meningkatkan taraf kehidupan dan kedudukan sosial masyarakat Orang Asli semakin membuahkan hasil.
Sementara itu, kerajaan turut meluluskan penambahan lebih 20 jawatan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) baharu tahun ini.
Kelulusan berkenaan diputuskan oleh Jemaah Menteri sebagai antara usaha memperkukuh kepimpinan masyarakat orang asli di peringkat akar umbi.
Beliau turut memaklumkan sebanyak RM412 juta telah diperuntukan bagi aspek pembangunan sosioekonomi, pemerkasaan modal insan, pendidikan, kemahiran dan kerjaya, kebajikan serta penyediaan infrastruktur melibatkan keperluan masyarakat orang asli, tahun ini.