
JOHOR BAHRU, 18 Ogos – Empangan Muda di Kedah dan Empangan Timah Tasoh di Perlis antara yang berada pada tahap kritikal susulan penyusutan paras air akibat cuaca panas dan kekurangan hujan.
- SPAN meningkatkan pemantauan empangan di utara bagi memastikan bekalan air mencukupi.
- Simpanan empangan boleh bertahan sekitar 50 hari tanpa hujan; pembenihan awan memberi hujan sedikit.
- Harapan pada hujan September dan Oktober berikutan peralihan Monsun Barat Daya ke Monsun Timur Laut.
- Jika hujan masih tidak mencukupi, alternatif disediakan bersama JPS dan syarikat air termasuk kolam dan tali air.
Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman berkata, keadaan empangan di utara Semenanjung ketika ini menjadi perhatian dan pemantauan terus dipertingkatkan bagi memastikan bekalan air mencukupi.
“Cuma saya difahamkan boleh bertahan 50 hari kalau tidak ada hujan. Alhamdulillah, setelah dibuat program pembenihan awan, adalah sedikit hujan.
“Kita harap, kalau ikut sejarah, biasanya bulan September dan Oktober di bahagian utara ini akan turun hujan. Peralihan Monsun Barat Daya kepada Monsun Timur Laut itu biasanya akan hujan di utara,” katanya.kepada pemberita pada sidang media Op Tebrau SPAN di sini, hari ini.
Datuk Ahmad Faizal berkata, sekiranya hujan masih tidak mencukupi, perancangan alternatif sudah disediakan bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta syarikat air Perlis bagi mendapatkan sumber air dari lokasi yang bersesuaian, termasuk kolam dan tali air.
Terdahulu, pada Mei lalu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menyelaraskan dua siri Operasi Pembenihan Awan (OPA) membabitkan Empangan Timah Tasoh di Perlis serta Empangan Ahning, Pedu, Beris dan Muda di Kedah susulan penyusutan paras air yang ketika itu berada pada tahap waspada dan kritikal.
NADMA memaklumkan, Empangan Muda berada pada tahap kritikal dengan simpanan ketika itu hanya 8.75 peratus, manakala Empangan Timah Tasoh di Perlis turut berada pada tahap kritikal.
Dalam pada itu, Datuk Ahmad Faizal berkata, keadaan empangan di Johor masih terkawal meskipun negeri itu turut berdepan cuaca panas dan kekurangan hujan.
Pemantauan terhadap semua empangan di Johor akan terus dilaksanakan bagi memastikan sumber air mentah negeri itu mencukupi.