Kerajaan belum putuskan untuk ekstradisi pembantu juruterbang – DS Saifuddin Nasution

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (tengah) bercakap pada sidang media di Kompleks Setia Perkasa / Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 18 Ogos – Kerajaan belum memutuskan sama ada akan memohon ekstradisi seorang pembantu juruterbang warga Malaysia yang ditahan di Indonesia kerana disyaki menyeludup kira-kira 25 kilogram dadah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keputusan mengenai hala tuju kes akan dibuat selepas siasatan JSJN Bukit Aman selesai.
  • Siasatan memberi tumpuan mendapatkan maklumat daripada suspek untuk kenal pasti modus operandi dan rangkaian penyeludupan.
  • Siasatan menilai kaitan dengan jenayah terancang atau tindakan persendirian; prosiding berlanjutan dan suspek berdepan hukuman berat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebarang keputusan mengenai hala tuju kes itu, termasuk kemungkinan membawa suspek pulang ke Malaysia, hanya akan dibuat selepas siasatan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman selesai.

Beliau berkata, siasatan ketika ini memberi tumpuan untuk mendapatkan sebanyak mungkin maklumat daripada suspek bagi mengenal pasti keseluruhan modus operandi rantaian penyeludupan berkenaan.

“Jadi pada kita, sekarang adalah untuk mendapat sebanyak mungkin maklumat daripada subjek untuk kita mengetahui tentang pattern, apakah ia merupakan sebahagian daripada elemen organized crime, ataupun ia merupakan tindakan-tindakan persendirian dan sebagainya.

“Kita perlu establish semua fakta kes ini terlebih dahulu sebelum menentukan hala tuju seterusnya,” katanya selepas menghadiri Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), di sini, hari ini.

Datuk Seri Saifuddin berkata, siasatan turut meneliti sama ada kegiatan itu mempunyai kaitan dengan rangkaian jenayah terancang atau dilakukan secara persendirian.

Sebelum ini, PDRM mengesahkan seorang juruterbang warga Malaysia berusia 39 tahun ditahan pihak berkuasa Indonesia selepas tiba di Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta, pada 29 Julai.

Menurut siasatan JSJN, suspek yang ditahan bersama kira-kira 25 kilogram dadah, dipercayai sudah beberapa kali menyeludup dadah ke beberapa negara mengikut jadual penerbangannya, sejak 2024.

Juruterbang itu turut mendedahkan maklumat mengenai beberapa sindiket dadah di Malaysia dan negara lain, termasuk Indonesia.

Pihak berkuasa Indonesia kini meneruskan prosiding terhadap suspek, yang dilaporkan berdepan hukuman berat mengikut undang-undang negara itu sekiranya disabitkan kesalahan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.