
KLANG, 18 Ogos – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedia memberi tumpuan antaranya sektor pertanian serta keterjaminan makanan yang terkesan susulan El Nino dalam penyediaan Belanjawan 2027.
- Pertemuan KPKM dengan Menteri Kewangan II mengesahkan keperluan peruntukan persediaan menghadapi kesan El Nino dijangka bermula September.
- Perbincangan termasuk peruntukan tambahan untuk KADA, MADA dan LKIM mendapat maklum balas positif.
- Kementerian Kewangan dijangka menyediakan keperluan segera sekiranya berlaku perubahan atau gangguan mendadak terhadap bekalan makanan.
- Pemindahan dan naik taraf cawangan Agrobank ke Bandar Botanik kukuhkan tawaran pembiayaan kepada golongan sasar di Lembah Klang.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata pertemuan bersama Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan semalam, mendapati terdapat keperluan untuk membuat persiapan termasuk peruntukan menghadapi kesan fenomena itu yang dijangka bermula September ini.
“Selain peruntukan biasa untuk Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), peruntukan tambahan yang dibincangkan serta semua permohonan, menunjukkan maklum balas positif.
“Dalam taklimat berkenaan, dimaklumkan juga Kementerian Kewangan dijangka menyediakan keperluan jika berlaku sebarang perubahan dan gangguan mendadak terhadap bekalan makanan,” katanya selepas merasmikan pelancaran cawangan Agrobank Klang.
Beliau dalam perkembangan lain turut memaklumkan pemindahan serta naik taraf operasi Agrobank ke Bandar Botanik membolehkannya memperkukuh tawaran perkhidmatan kewangan di Lembah Klang seiring potensi pertumbuhan pesat daerah berkenaan.
Cawangan ke-159 Agrobank itu menjadi penghubung utama kemudahan pembiayaan kepada golongan sasar, selari aspirasi Ekonomi MADANI.