
KEMAMAN, 18 Ogos – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mencadangkan kerajaan meneruskan subsidi dan insentif subsidi minyak kepada golongan nelayan menerusi Belanjawan 2027 bagi memastikan sektor perikanan terus berkembang.
- Mohon peruntukan lebih besar bagi pembangunan dan menaiktaraf infrastruktur perikanan seperti jeti uzur dan kompleks pendaratan ikan.
- Tumpuan kepada pembangunan sektor akuakultur untuk meningkatkan sumber pendapatan nelayan dan persatuan nelayan.
- Memohon peruntukan tambahan untuk pembinaan unjam dan tukun serta projek perumahan nelayan dan baik pulih rumah.
Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil, berkata LKIM yakin kerajaan mampu mengekalkan subsidi berkenaan serta bantuan sara hidup golongan berkenaan, walaupun berdepan masalah kewangan susulan krisis tenaga global.
Beliau berkata LKIM turut berharap peruntukan lebih besar disediakan bagi pembangunan dan menaik taraf infrastruktur perikanan, termasuk jeti yang uzur serta kompleks pendaratan ikan yang perlu ditambah baik.
“Sebagai contoh kalau kita ada satu jeti baharu yang baik iaitu pengkalan kecil jadi aktiviti memunggah pendaratan ikan itu lebih licin. Memudahkan proses pengambilan ikan. Itu akan memberi satu galakan kepada nelayan untuk lebih rajin ke laut”, katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Rahmah Mesra MADANI Pengerusi LKIM Bersama Nelayan Kuala Kemaman dan Penyerahan Bina Baru Rumah Nelayan di Kompleks Perikanan LKIM Kuala Kemaman di sini, hari ini.
Katanya, tumpuan turut perlu diberikan kepada pembangunan sektor akuakultur bagi membantu nelayan dan persatuan nelayan meningkatkan sumber pendapatan.
Muhammad Faiz turut berharap peruntukan lebih besar disediakan bagi pembangunan sektor akuakultur yang boleh dimanfaatkan nelayan dan persatuan nelayan sebagai antara fokus utama tahun ini.
Beliau juga memaklumkan, LKIM turut memohon peruntukan tambahan dalam Belanjawan 2027 bagi pembinaan lebih banyak unjam dan tukun sebagai kawasan pembiakan dan perlindungan ikan.
Menurut beliau, pada masa ini terdapat kira-kira 80,000 nelayan yang aktif turun ke laut membabitkan zon A, B, C dan C2 di seluruh negara.
Dalam pada itu, kerajaan memperuntukkan RM10 juta tahun ini bagi melaksanakan Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) yang melibatkan pembinaan 36 rumah baharu dan kerja baik pulih 344 rumah nelayan di seluruh negara.
Beliau berkata, Terengganu menerima peruntukan bagi pembinaan empat rumah baharu dan sebanyak 29 rumah untuk baik pulih. Ia melibatkan kos baik pulih rumah nelayan sehingga maksimum RM20,000, manakala bina baharu bernilai RM84,000.
Sementara itu Pengerusi Persatuan Nelayan Kemaman, Aziz A Razak berterima kasih kepada kerajaan MADANI dan LKIM atas sumbangan yang diterima bagi dimanafaatkan warga nelayan Kemaman.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi LKIM Haji Muhammad Faiz Fadzil, di atas bantuan beliau sebanyak RM214,000. RM214,000 itu kita pecah kepada tiga bahagian RM50,000 untuk projek bangunan KUNITA, RM40,000 untuk jeti minyak, selebihnya bina baharu rumah dan selebihnya buat modal pusingan.
Dalam pada itu, Pengerusi Kumpulan Wanita Nelayan (KUNITA) Kuala Kemaman Nur Zufarhana Nadila Md Zainuddin, berkata mereka amat berterima kasih kepada kerajaan MADANI dan LKIM yang sudi menyediakan bantuan RM50,000 bagi menaik taraf kemudahan peralatan untuk meningkatkan produktiviti mereka.
“Saya mewakili KUNITA PNK Kuala Kemaman ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak LKIM kerana meluluskan dan memberi sumbangan RM50,000 untuk KUNITA Kemaman. Insha-Allah, kami akan memperkembangkan lagi produktiviti kami”, katanya.