
KUALA LUMPUR, 18 Ogos- Radio Televisyen Malaysia (RTM) memperluas penyampaian maklumat berkaitan Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 menerusi pendekatan merentas platform bagi memastikan perkembangan temasya dapat diikuti masyarakat secara lebih meluas.
- RTM kembangkan liputan SUKMA melalui pendekatan merentas platform untuk capai audiens lebih luas.
- Kandungan radio diolah semula dalam teks, grafik dan video untuk disebar menerusi portal berita, platform digital dan media sosial.
- Pendekatan ini mengurangkan jurang maklumat supaya pendengar boleh mengikuti perkembangan SUKMA secara lebih mudah dan terkini.
Pengarah Program Radio RTM, Saifuzzaman Yusop berkata pendekatan itu membolehkan kandungan radio dikembangkan dalam pelbagai bentuk untuk disampaikan menerusi platform digital.
“Radio bukan sekadar untuk didengari. Dalam era kandungan dan media yang berkembang pesat hari ini, kandungan yang dihasilkan radio juga boleh dikembangkan dalam bentuk teks, grafik dan video untuk disampaikan menerusi pelbagai platform.
“Kita tidak mahu berlaku sebarang jurang dalam penyampaian maklumat. Setiap hebahan boleh disampaikan menerusi platform yang ada, bukan sahaja melalui siaran radio terestrial (konvensional), tetapi juga portal berita, platform digital dan media sosial.
“Dengan pendekatan ini, pendengar radio RTM bukan sahaja boleh mendapatkan maklumat melalui radio, malah dapat mengikuti perkembangan terkini menerusi pelbagai platform digital,” katanya.
Beliau ditemui media selepas menjadi tetamu dalam audio siar (podcast) khas SelangorFM di Pusat Media SUKMA Selangor 2026, di sini hari ini.