
SERDANG, 18 Ogos- Kesukaran hidup pada usia muda tidak mematahkan impian atlet baling tukul besi wanita Sarawak, Yoyo Wong Zhi Yao untuk memburu pingat emas pertamanya pada pentas Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 di sini hari ini.
- Yoyo memenangi acara baling tukul besi dengan lontaran terbaik 48.14m pada percubaan terakhir; ia juga rekod peribadi terbaiknya.
- Berlatih enam hari seminggu di bawah jurulatih Jackie Wong Siew Cheer yang mengenal pasti bakatnya melalui guru Cikgu Alex.
- Boleh lontar sekitar 50 hingga 51m dalam latihan, membuka peluang ke skuad negara Sukan SEA 2027; mengidolakan pemegang rekod SUKMA Grace Wong.
Pada aksi di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), atlet berusia 18 tahun dari Sibu itu melakukan balingan terbaiknya pada percubaan terakhir sejauh 48.14 meter (m) untuk menafikan cabaran atlet lain, sekali gus mengungguli acara berkenaan.
Lebih manis, catatan itu turut menjadi rekod peribadi terbaik Yoyo.
Pingat perak menjadi milik Nur Salsabila Mohd Zam Sairon dari Perlis menerusi balingan 47.71m, manakala atlet Pahang, Nurul Aiyani Mohamed Kamaluddin meraih gangsa dengan catatan 46.63m.
Yoyo yang menjadikan pemegang rekod SUKMA (57.76m), Grace Wong Xiu Mei sebagai idolanya berkata kejayaan itu amat bermakna selepas menjalani latihan enam hari seminggu di bawah kendalian jurulatih Jackie Wong Siew Cheer.
“Saya memang sasarkan emas dan ambil semangat Grace untuk berikan Sarawak pingat emas ini,” katanya ketika ditemui selepas pertandingan.
Sementara itu, Jackie berkata bakat Yoyo mula dikenal pasti selepas beliau dilantik sebagai jurulatih baling tukul besi Sarawak tahun lepas, sebelum mengambil inisiatif bertemu guru yang pernah mengenali Yoyo.
“Ketika berusia 16 tahun, Yoyo sudah membantu nenek menjual mi kampua di Sibu. Tahun lepas saya jadi jurulatih, saya pergi berjumpa cikgu dia, Cikgu Alex. Pada ketika itu saya nampak potensi dia untuk menyumbang pingat emas,” katanya.
Menurut Jackie, Yoyo menunjukkan perkembangan memberangsangkan dalam latihan apabila mampu menghasilkan balingan kira-kira 50 hingga 51m, sekali gus membuka peluang untuknya mengejar tempat dalam skuad negara ke Sukan SEA 2027.
“Sasaran kami untuk melayakkan diri ke temasya itu dan saya harap dia terus bekerja keras untuk mencapai sasaran,” katanya. -BERNAMA