
BENTONG, 17 Ogos – Polis mengesahkan menerima tiga laporan berasingan berkaitan struktur patung di sebuah rumah ibadat bukan Islam yang didakwa dirosakkan di Bukit Tinggi, Bentong, semalam.
- Laporan dibuat oleh pengawal keselamatan, seorang sami dan seorang lelaki tempatan pada hari sama.
- Siasatan awal mendapati tiada CCTV dan tiada saksi bebas melihat kejadian.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia; orang ramai diminta tidak berspekulasi.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, ketiga-tiga laporan itu dibuat oleh seorang pengawal keselamatan berusia 49 tahun, seorang sami, 45 tahun dan seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun pada hari yang sama.
“Pihak polis telah ke tempat kejadian dan siasatan awal mendapati tiada kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di lokasi kejadian, selain tiada saksi bebas yang melihat kejadian berkenaan tersebut berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Datuk Azry berkata, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian serta pihak yang terlibat.
Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan, khususnya menerusi media sosial, kerana ia boleh menjejaskan siasatan atau menimbulkan kegusaran awam.