Juruterbang dedah rangkaian sindiket dadah di Malaysia, Indonesia

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan/ Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Juruterbang Malaysia yang ditahan di Indonesia kerana membawa lebih 26 kilogram dadah, disyaki sudah beberapa kali terbabit dalam kegiatan penyeludupan dadah ke beberapa negara sejak 2024.

RINGKASAN BERITA AI
  • Suspek mendedahkan rangkaian sindiket dadah di Malaysia dan negara luar termasuk Indonesia.
  • Suspek dipercayai menggunakan jadual penerbangan untuk menyeludup dadah.
  • PDRM meneliti maklumat termasuk aliran kewangan hasil kegiatan pengedaran dadah.
  • Risikan akan dikongsi dengan agensi penguatkuasaan; kaedah penyeludupan tidak didedahkan bagi menjaga siasatan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, perkara itu didedahkan suspek ketika disoal siasat pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Jakarta.

Menurut beliau, suspek dipercayai menggunakan jadual penerbangannya untuk membawa dadah ke beberapa negara.

“Suspek turut memberikan maklumat berkaitan beberapa rangkaian sindiket dadah di Malaysia dan luar negara, termasuk Indonesia,” katanya ketika dihubungi RTM.

PDRM kini meneliti maklumat yang diberikan suspek, termasuk berkaitan aliran kewangan hasil kegiatan pengedaran dadah.

Maklumat risikan berkenaan turut akan dikongsi dengan agensi penguatkuasaan negara berkaitan untuk tindakan lanjut.

Bagaimanapun, kaedah yang digunakan suspek untuk membawa keluar dadah tidak akan didedahkan bagi mengelakkan siasatan terjejas.

Setakat ini, tiada petunjuk yang menunjukkan wujud pembabitan ‘orang dalam’ di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) ketika suspek melepasi pemeriksaan.

Suspek masih ditahan Polis Republik Indonesia (POLRI) dan perlu melalui proses perundangan negara berkenaan.

PDRM turut meneliti kemungkinan mengambil tindakan lanjut terhadap rangkaian sindiket yang didedahkan suspek, sekali gus membuka ruang kepada pembongkaran kegiatan penyeludupan dadah rentas negara yang dipercayai aktif sejak 2024.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.