Polis peronda direman lima hari terima suapan RM14,000

Foto RTM

KUANTAN, 16 Ogos – Seorang anggota polis peronda ditahan reman selepas disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM14,000 sebagai balasan tidak mengambil tindakan ke atas pengguna Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) yang melakukan kesalahan lalu lintas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ditahan kira-kira 5.30 petang Sabtu ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Pahang.
  • Perintah reman lima hari sehingga 20 Ogos dikeluarkan Majistret Ellyna Othman.
  • Suspek dipercayai menerima wang melalui pemindahan ke akaun bank pihak ketiga.
  • Kes disiasat bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009, suspek dipercayai bersubahat dengan pegawai lain sejak Januari hingga Julai.

Suspek lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira pukul 5.30 petang pada Sabtu ketika hadir memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang di sini.

Perintah reman terhadap suspek telah dikeluarkan Majistret Ellyna Othman selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kuantan pagi tadi.

“Suspek dipercayai menerima wang rasuah melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank pihak ketiga yang digunakan.

“Suspek kini direman selama lima hari sehingga 20 Ogos, “menurut sumber SPRM.

Siasatan awal mendapati suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut bersama-sama seorang lagi pegawai polis peronda sejak Januari hingga Julai lepas.

Sementara itu, seorang lagi pegawai polis peronda berusia lingkungan 30-an yang ditahan reman sebelum ini disambung reman selama empat hari sehingga 19 Ogos ini.

“Perintah lanjutan reman tersebut juga dikeluarkan Majistret Ellyna Othman selepas permohonan reman pertama ke atas pegawai polis tersebut berakhir hari ini,” jelas sumber itu lagi.

Pengarah SPRM Pahang, Mohamad Shukor Mahmud ketika dihubungi mengesahkan penahanan kedua-dua suspek.

Kes disiasat bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.