
SINTOK, 16 Ogos – Semangat kemerdekaan dalam kalangan generasi muda, khususnya mahasiswa perlu dizahirkan bukan sekadar melalui sambutan, tetapi menerusi budaya ilmu, kecemerlangan, kesukarelawanan, inovasi dan khidmat kepada masyarakat serta negara.
- UUM sebagai agen membebaskan minda, memerangi kejahilan dan memperkasa generasi melalui pendidikan.
- Sambutan kemerdekaan jadi peringatan tanggungjawab bersama untuk masa depan dan manfaat pembangunan kepada masyarakat.
- Galakkan perpaduan dan keharmonian tanpa mengira kaum, budaya atau bidang pengajian di kalangan warga kampus.
- Universiti perlu membentuk generasi berintegriti, berdaya saing dan berjiwa patriotik, bukan hanya fokus pada keusahawanan.
Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Tan Sri Dr. Mazlan Yusoff berkata, sambutan Bulan Kemerdekaan bukan hanya satu rutin tahunan tetapi menjadi peringatan tentang harapan dan masa depan bersama yang digalas oleh semua pihak termasuk warga kampus.
Menurut beliau, semangat kemerdekaan dalam konteks UUM adalah membebaskan minda, memerangi kejahilan dan memperkasa anak bangsa Malaysia melalui bidang pendidikan.
“Malaysia merdeka pada tahun 1957 selepas melalui perjalanan bersejarah yang panjang. Begitu juga dengan UUM mencatatkan sejarah perjuangannya yang tersendiri dalam mendukung dan mengisi kemerdekaan negara.
“Sejak ditubuhkan pada 16 Februari 1984, UUM telah membuktikan peranan besarnya sebagai ejen pembangunan hasil daripada tekad, iltizam dan pengorbanan warga terdahulu apabila berjaya melahirkan 180,000 graduan yang menabur bakti dan menyumbang kepada kemajuan negara dalam pelbagai sektor dalam dan luar negara,” jelas Tan Sri Dr. Mazlan dalam ucapan sempena pelancaran Sambutan Bulan Kemerdekaan Peringkat UUM 2026.
Majlis pelancaran dihadiri Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed bersama pengurusan universiti dan warga kampus di perkarangan Bangunan Canselori Sultan Sallehuddin di Sintok.
Ia diserikan dengan aktiviti deklamasi sajak bertema kemerdekaan, gimik pelancaran dan Senamrobik Merdeka sebagai usaha menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan warga UUM.
Mengulas lanjut, Tan Sri Dr. Mazlan turut meminta warga kampus menjadikan Bulan Kemerdekaan sebagai penyemarak semangat kebangsaan, merapatkan perpaduan dan memperkukuh keharmonian tanpa mengira latar belakang, kaum, budaya dan bidang pengajian.
“Jalur Gemilang yang berkibar di sekitar kampus bukan hanya satu simbol tetapi menjadi peringatan bahawa kita semua berkongsi tanah air, harapan dan masa depan yang satu.
“Pengisian kemerdekaan oleh universiti pada hari ini menuntut seluruh warga kampus untuk memastikan hasil pembangunan, perkongsian ilmu dan kestabilan negara benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat selaras dengan tema sambutan, “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”,” jelas beliau lagi.
Selain itu, universiti perlu menjadi benteng utama dalam membentuk watak generasi muda yang beintegriti, berdaya saing dan berjiwa patriotik dan bukan sekadar mencerna ilmu keusahawanan dan pengurusan semata-mata.