KDNK suku kedua 2026 dijangka lepasi anggaran awal 5.8%

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku kedua 2026 dijangka berkembang 5.9 hingga 6.0 peratus, mengatasi anggaran awal 5.8 peratus Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) dan TA Securities.

RINGKASAN BERITA AI
  • HLIB: pertumbuhan suku kedua disokong oleh pemulihan sektor pembuatan dan perlombongan serta peningkatan eksport bersih.
  • Indeks Pengeluaran Perindustrian pembuatan meningkat, manakala pengeluaran E&E kekal kukuh sejajar jualan semikonduktor global yang tinggi.
  • Lebihan dagangan dijangka meningkat apabila eksport mengatasi import, dipacu E&E, gas asli cecair, pembuatan logam dan produk kimia.
  • TA Securities: sektor perkhidmatan menunjukkan prestasi lebih kuat, dipimpin Maklumat dan Komunikasi serta Pengangkutan; perbelanjaan isi rumah berdaya tahan.

HLIB menjangkakan KDNK suku kedua berkembang 5.9 peratus, didorong prestasi lebih kukuh sektor pembuatan dan perlombongan, selain peningkatan eksport bersih.

Permintaan domestik pula kekal berdaya tahan meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik.

”Sektor pembuatan dijangka terus mendapat momentum dengan Indeks Pengeluaran Perindustrian pembuatan meningkat kepada 7.4 peratus, berbanding 5.4 peratus pada suku pertama 2026.

”Pengeluaran elektrik dan elektronik (E&E) turut kekal kukuh pada 14.2 peratus, selaras dengan jualan semikonduktor global yang lebih tinggi daripada jangkaan,” menurut HLIB dalam nota penyelidikannya.

HLIB berkata pertumbuhan juga dijangka dirangsang peningkatan lebihan dagangan apabila eksport mengatasi import, diterajui produk E&E, gas asli cecair, pembuatan logam dan produk kimia.

Penggunaan swasta pula dijangka berkembang susulan keadaan pasaran buruh yang stabil serta pertumbuhan upah yang lebih kukuh.

Bagi prospek 2026, bank pelaburan itu mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK pada 4.7 peratus dengan pertumbuhan dijangka sederhana pada separuh kedua tahun ini susulan kesan asas yang tinggi.

Sementara itu, TA Securities melihat pertumbuhan KDNK suku kedua berpotensi mencecah sekitar 6.0 peratus, didorong prestasi sektor perkhidmatan yang lebih kukuh daripada jangkaan.

Menurut TA Securities Indeks, Volum Perkhidmatan meningkat 5.9 peratus tahun ke tahun kepada 170.1 mata pada suku kedua, berbanding 5.7 peratus pada suku pertama.

Pertumbuhan sektor perkhidmatan turut menyeluruh, diterajui segmen Maklumat dan Komunikasi serta Pengangkutan dan Penyimpanan yang berkembang 7.6 peratus, diikuti Perkhidmatan Lain sebanyak 7.3 peratus.

”Indeks Perdagangan Edaran pula meningkat 4.8 peratus, menunjukkan perbelanjaan isi rumah terus berdaya tahan.

”Gabungan prestasi sektor perkhidmatan yang kukuh, permintaan domestik berdaya tahan dan eksport bersih yang positif mengukuhkan jangkaan prestasi ekonomi yang lebih baik pada suku kedua.

”Sebarang semakan semula unjuran KDNK 2026 akan dinilai semula berdasarkan pengumuman angka akhir KDNK suku kedua 2026,” menurut firma penyelidikan itu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.