Malaysia-Senegal perkukuh kerjasama sektor pengangkutan

Foto FB MOT

PUTRAJAYA, 13 Ogos – Malaysia dan Senegal meneroka peluang memperkukuh kerjasama dalam sektor pengangkutan, khususnya menerusi peningkatan kesalinghubungan udara serta pembangunan dan pemodenan sistem rel.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pertemuan rasmi antara Menteri Pengangkutan dan Duta Besar Senegal bagi bertukar pandangan mengenai perkembangan sektor pengangkutan.
  • Usaha memperkukuh kesalinghubungan udara untuk tingkatkan mobiliti penumpang, perdagangan, pelancongan dan peluang perniagaan dua hala.
  • Kerjasama dalam pembangunan dan pemodenan sistem rel termasuk perkongsian kepakaran teknikal, pembangunan kapasiti dan pertukaran amalan terbaik.

Menurut kenyataan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) di Facebook, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke hari ini menerima kunjungan hormat Duta Besar Republik Senegal ke Malaysia, TYT Abdoul Aziz Loum, di Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), Putrajaya.

“Pertemuan itu menjadi platform kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai perkembangan sektor pengangkutan di Malaysia dan Senegal, selain meneroka ruang kerjasama baharu dalam bidang yang mempunyai kepentingan bersama.

“Antara perkara utama yang dibincangkan ialah usaha memperkukuh kesalinghubungan udara antara Malaysia dan Senegal, yang diyakini mampu meningkatkan mobiliti penumpang serta membuka lebih banyak peluang dalam perdagangan, pelancongan dan perniagaan antara kedua-dua negara,” katanya.

Dalam kenyataan sama, perbincangan turut menyentuh pembangunan dan pemodenan sektor rel di Senegal, dengan Menteri Pengangkutan berkongsi pengalaman Malaysia dalam membangunkan sistem rel yang moden, cekap dan bersepadu.

“Kedua-dua pihak turut meneroka potensi kerjasama menerusi perkongsian kepakaran teknikal, pembangunan kapasiti serta pertukaran amalan terbaik dalam pembangunan rangkaian rel.

“Usaha itu selaras dengan aspirasi untuk memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Senegal, khususnya dalam sektor pengangkutan yang menjadi pemangkin kepada mobiliti rakyat dan pertumbuhan ekonomi,” kata kenyataan itu.

Turut hadir Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.