
Kuala Lumpur, 11 Ogos – Kerjasama strategik Kumpulan Restoran Antarabangsa D’Tandoor (D’Tandoor) bersama Universiti Kolej Kuala Lumpur UNITAR menerusi Program Pendidikan Kulinari mampu memperkukuh ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), khususnya dalam bidang kulinari, sekali gus membuka lebih banyak laluan kerjaya kepada tenaga kerja tempatan.
- Program tiga bulan sebagai platform melahirkan pelajar berkemahiran kulinari dan usahawan melalui modul struktur dan kelas praktikal.
- Setiap peserta menerima latihan, sesi soal jawab dan tunjuk ajar bersama cef bertaraf dunia yang diiktiraf bintang Michelin.
- Memberi pendedahan praktikal serta bimbingan pakar bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan dan membuka peluang perniagaan atau pekerjaan.
Pengerusi Kumpulan Restoran Antarabangsa D’Tandoor, Datuk Seri Dr. Haji Abdul Malik Abdullah berkata, program selama tiga bulan itu dilihat sebagai platform dalam melahirkan pelajar berkemahiran kulinari serta menawarkan peluang menjadi usahawan berlandaskan modul dan kelas praktikal.
“Tujuan program ini dilaksanakan untuk menimbulkan idea-idea baharu dan munasabah terutamanya kepada rakyat dalam membantu sektor keusahawanan. Ia memberi fokus terhadap peningkatan kemahiran dan pemahiran semula para peserta dan pelajar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Pendidikan Kulinari dan Kerjasama Strategik D’Tandoor-UNITAR yang disempurnakan Timbalan Menteri Kementerian Sumber Manusia Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan di ibu negara hari ini.
Setiap pelajar atau peserta akan menerima latihan, sesi soal jawab dan tunjuk ajar bersama cef bertaraf dunia yang menerima pengiktirafan bintang Michelin.
Selain itu, UNITAR akan menyediakan bahan bacaan dan bahan bercetak untuk kegunaan peserta, manakala D’Tandoor akan memberi tumpuan kepada sesi latihan praktikal.
Naib Canselor dan Ketua Pegawai Eksekutif UNITAR, Dr. Jagdeep Singh Jassel berkata, program itu memberi peluang kepada pelajar atau peserta menjana pendapatan melalui perniagaan sendiri atau mendapatkan pekerjaan dalam sektor berkaitan berdasarkan kemahiran yang diperoleh.
“Ini merupakan contoh bagaimana kami menjamin kebolehpasaran graduan, sama ada mereka bekerja dengan pihak lain atau bekerja sendiri.
“Kami percaya pentingnya memberi pendedahan dan peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan ilmu, merasai pengalaman secara langsung serta, paling penting, mendapat bimbingan daripada pakar.
“Itulah perkara utama yang ingin saya tekankan, iaitu memastikan kebolehpasaran graduan melalui pendekatan yang dirancang sejak awal,” katanya.