Transformasi TH berjaya, lebih 75% syor dilaksana

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan

KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Lebih 75 peratus daripada syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) telah dilaksanakan bagi memperkukuh tadbir urus dan kedudukan institusi itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • TH komited menyelesaikan baki syor RCI yang masih dalam pelaksanaan.
  • Pelantikan Lembaga Pengarah dan pengurusan berdasarkan kriteria fit and proper, menekankan integriti, kebolehan dan pengalaman.
  • Kadar agihan keuntungan diumumkan berdasarkan penyata kewangan tahunan diaudit; piawaian perakaunan diguna pakai sepenuhnya.
  • Kerajaan meneliti pindaan Akta Tabung Haji termasuk memperjelas piawaian perakaunan dan memasukkan penalti bagi salah lapor penyata kewangan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, TH turut memberi komitmen untuk menyelesaikan baki syor relevan yang kini dalam pelaksanaan.

Antara pembaharuan yang dilaksanakan ialah langkah memperkukuh struktur kepimpinan dan tadbir urus TH selaras dengan syor RCI.

“Alhamdulillah, TH telah melaksanakan pelantikan kepimpinan termasuk ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan berdasarkan integriti, kebolehan serta pengalaman, mengikut kriteria ‘fit and proper’ (layak dan sesuai) yang digunakan oleh Bank Negara Malaysia.

“Kita mempunyai ramai teknokrat dan tokoh yang berwibawa, kompeten, beramanah serta berintegriti untuk menerajui TH.

“Buktinya, TH kini berada dalam keadaan yang sangat baik dari sudut pengurusan haji, pelaburan, kewangan dan secara keseluruhannya,” katanya dalam Sidang Khas mengenai Laporan RCI TH di Dewan Rakyat.

Menurut beliau, langkah itu selaras dengan syor RCI supaya pembaharuan menyeluruh dibuat terhadap Akta Tabung Haji, termasuk menetapkan kriteria khusus kelayakan dan kaedah pemilihan anggota Lembaga berdasarkan kepakaran.

Dari aspek kewangan, TH sejak 2022 telah melaksanakan pengumuman kadar Agihan Keuntungan berdasarkan penyata kewangan tahunan yang diaudit, manakala piawaian perakaunan turut diguna pakai sepenuhnya sejak 2018.

Kerajaan juga sedang meneliti pindaan Akta Tabung Haji termasuk memperjelas piawaian perakaunan serta memasukkan penalti terhadap salah lapor penyata kewangan bagi mengelakkan kelemahan sama berulang.

Dr. Zulkifli berkata, reformasi yang dilaksanakan sejak 2018 membantu memulihkan kedudukan kewangan TH, memperkukuh rizab serta meningkatkan kualiti pelaburan dan tadbir urus institusi itu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.