Sektor komoditi sumbang RM19.65 bilion kepada KDNK suku pertama 2026

Pencapaian tidak seharusnya dinilai berdasarkan angka semata-mata, sebaliknya diterjemahkan kepada nilai tambah dalam negara serta peningkatan pendapatan pekebun kecil dan pemain industri

BANGI, 10 Ogos – Sektor komoditi dan industri berasaskan komoditi menyumbang RM19.65 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada suku pertama tahun ini mencatatkan peningkatan lebih tinggi berbanding RM18.95 bilion bagi tempoh sama tahun lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pencapaian sektor perlu diterjemahkan kepada nilai tambah dalam negara serta peningkatan pendapatan pekebun kecil dan pemain industri.
  • Kementerian fokus mengekalkan pasaran sedia ada, meneroka pasaran baharu dan memperkukuh agenda peralihan tenaga termasuk biodiesel dan SAF.
  • MPOB perkenal sembilan teknologi baharu, Sawit Intelligent Management System, GeoSAWIT dan Program Salam Agrikomoditi untuk dekati pekebun kecil.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad memaklumkan bagi tempoh sama, eksport produk berasaskan komoditi turut menjana RM41.62 bilion kepada negara.

“Bagaimanapun, pencapaian sektor berkenaan tidak seharusnya dinilai berdasarkan angka semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada nilai tambah dalam negara serta peningkatan pendapatan pekebun kecil dan pemain industri.

“Apabila eksport meningkat, kita perlu bertanya bagaimana lebih banyak nilai dapat diwujudkan dalam negara.

“Apabila produktiviti meningkat, kita perlu memastikan pendapatan pada peringkat bawah turut meningkat,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Perladangan dan Komoditi di Ibu Pejabat Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Datuk Seri Dr Noraini turut memaklumkan kementerian turut memberi tumpuan kepada usaha mengekalkan pasaran sedia ada serta meneroka pasaran baharu dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global, tekanan rantaian bekalan, perubahan kos logistik juga tuntutan kelestarian.

“China kekal antara pasaran penting bagi produk agrikomoditi Malaysia, khususnya sektor hiliran dan produk bernilai tambah, manakala eksport agrikomoditi ke India meningkat lebih 50 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas.

“Sehubungan itu, kementerian akan terus memperkukuh agenda peralihan tenaga menerusi Program Biodiesel Negara dan pembangunan industri biobahan api, termasuk meneroka potensi minyak masak terpakai sebagai bahan mentah bagi penghasilan Bahan Api Penerbangan Lestari (SAF),”katanya.

Jelasnya, perkembangan itu menunjukkan sektor agrikomoditi kini berkembang melangkaui aktiviti pengeluaran di ladang dan turut memainkan peranan dalam agenda tenaga, teknologi, kelestarian serta ekonomi masa depan negara.

Beliau dalam pada itu turut memberitahu Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) memperkenalkan sembilan teknologi baharu menerusi Program Pemindahan Teknologi Sawit MPOB 2026, selain membangunkan Sawit Intelligent Management System dan GeoSAWIT bagi memperkukuh kebolehkesanan industri.

“Program Salam Agrikomoditi pula akan diperluas ke kawasan pekebun kecil di seluruh negara bagi mendekati lebih 600,000 pekebun kecil persendirian serta menyampaikan maklumat berkaitan bantuan, pensijilan, insentif dan program pembangunan.

“Program berkenaan telah bermula pada 25 Julai lepas di Negeri Sembilan dan saya mahu program turun padang ini disusun ke kawasan pekebun kecil di seluruh negara.

“Saya juga mengharapkan program itu bergerak secara berterusan dari satu negeri ke satu negeri supaya kehadiran KPK dapat dirasai oleh masyarakat yang bergantung pada sektor agrikomoditi,”jelasnya lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.