
KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Peningkatan dalam pelaburan langsung asing (FDI) dan domestik dijangka terus menjadi pemangkin utama pertumbuhan ekonomi negara, walaupun berdepan landskap ekonomi global yang tidak menentu.
Presiden Institut Strategik KSI bagi Asia Pasifik, Tan Sri Michael Yeoh berkata, keyakinan pelabur kepada Malaysia kekal tinggi, berikutan prestasi ekonomi negara yang terus menunjukkan momentum pertumbuhan positif.
- Keyakinan pelabur kekal tinggi susulan prestasi ekonomi yang menunjukkan momentum pertumbuhan positif.
- KDNK suku kedua mencatat prestasi positif; unjuran pertumbuhan tahunan dijangka sekitar 5.6 peratus.
- Belanjawan 2027 perlu tumpu pengukuhan fiskal, subsidi minyak dan keutamaan kepada pendidikan, penjagaan kesihatan serta keselamatan.
“Kami sangat positif dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku kedua. Jangkaan kami sendiri juga adalah antara 5.5 hingga 6 peratus. Jadi, pertumbuhan 5.8 peratus itu berada dalam julat yang dijangkakan bagi KDNK.
“Terdapat beberapa kebimbangan mengenai peningkatan kos sara hidup serta kesan inflasi susulan kenaikan harga minyak, namun secara umumnya kita melihat minat yang tinggi kepada pelaburan asing di Malaysia,”katanya selepas Forum Kepimpinan Sumber Manusia, Bakat dan Majikan Terbaik 2026.
Beliau turut berpandangan pertumbuhan KDNK bagi keseluruhan tahun ini pula dijangka berada pada sekitar 5.6 peratus, selaras prestasi pertumbuhan ekonomi yang dicatatkan pada separuh pertama tahun ini.
Mengulas belanjawan 2027, katanya kerajaan perlu memberi tumpuan kepada usaha mengukuhkan kedudukan fiskal negara, selain memastikan sektor-sektor utama terus diberikan perhatian.
“Kerajaan perlu mengambil kira peningkatan kos subsidi minyak dan pada masa sama, negara perlu terus mengekalkan perbelanjaan pembangunan.
“Selain itu, saya melihat pendidikan dan penjagaan kesihatan sebagai antara bidang yang perlu diberikan keutamaan, selain aspek pertahanan dan keselamatan,”katanya lagi.
Sebelum ini, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang 5.8 peratus pada suku kedua 2026, disokong peningkatan dalam hampir semua sektor ekonomi, kecuali sektor pertanian.
Angka rasmi KDNK suku kedua 2026 dijadual bakal diumumkan pada 14 Ogos ini oleh DOSM.