
KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Lebih 1.9 juta baucar bernilai RM30 di bawah program Baucar Perlindungan Tenang (PTV 3.0) masih belum ditebus sejak pelancaran pada 1 September 2025.
- Penerima STR yang layak disarankan menebus baucar RM30 PTV 3.0 sebelum tarikh akhir 31 Ogos 2026.
- PTV 3.0 memberi bantuan RM30 untuk membeli produk Perlindungan Tenang, melindungi kematian, kemalangan, kebakaran dan risiko lain.
- Tebus atau semak kelayakan melalui portal myptv.my, mycoverage.my, cawangan syarikat insurans, pengendali takaful, ejen atau pengedar sah.
Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), Persatuan Takaful Malaysia (MTA) serta Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) menerusi kenyataan bersama menyarankan penerima yang layak untuk menebus baucar berkenaan menjelang tarikh akhir pada 31 Ogos ini.
“PTV 3.0 merupakan inisiatif kerjasama awam-swasta antara kerajaan dan industri insurans serta takaful yang diumumkan menerusi Belanjawan 2025.
“Program itu menyediakan bantuan kewangan RM30 kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang layak bagi menampung sebahagian kos pembelian produk insurans atau takaful Perlindungan Tenang.
“Produk berkenaan menawarkan perlindungan kewangan terhadap kejadian tidak dijangka termasuk kematian, kemalangan, kebakaran dan risiko lain,”jelas kenyataan itu.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif LIAM, Mark O’Dell menyatakan program berkenaan memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan perlindungan insurans dan takaful pada kos lebih berpatutan.
“Kami menggesa semua penerima STR yang layak supaya tidak melepaskan peluang ini dan menebus baucar RM30 sebelum 31 Ogos 2026,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MTA, Mohd Radzuan Mohamed berkata PTV 3.0 membantu memperkukuh agenda perlindungan Malaysia dengan meningkatkan kesedaran dan pengambilan produk perlindungan kewangan dalam kalangan rakyat.
“Inisiatif turut melengkapkan usaha berterusan industri takaful untuk menggalakkan individu dan keluarga menjadikan perlindungan sebagai sebahagian daripada perancangan kewangan,”jelasnya.
Ketua Pegawai Eksekutif PIAM, Chua Kim Soon pula berkata perlindungan kemalangan diri penting kerana kemalangan boleh mengakibatkan kos perubatan, kehilangan pendapatan serta komitmen kewangan berterusan walaupun seseorang tidak dapat bekerja.
“Lima produk perlindungan kemalangan diri daripada syarikat anggota PIAM ditawarkan kepada penerima STR yang layak di bawah PTV 3.0.
“Penerima yang layak boleh menyemak status kelayakan dan menebus baucar menerusi portal PTV di myptv.my, atau mendapatkan maklumat mengenai produk yang tersedia menerusi mycoverage.my.
“Mereka juga boleh mengunjungi cawangan syarikat insurans dan pengendali takaful yang mengambil bahagian atau ejen serta pengedar Perlindungan Tenang yang sah,”katanya.