
KOTA BHARU, 9 Ogos -Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Kelantan terus mempergiat usaha menyemarakkan semangat patriotisme menerusi Kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG) sempena Bulan Kebangsaan.*
- Menggalakkan masyarakat mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman, premis perniagaan, kenderaan dan tempat awam sebagai tanda sokongan.
- Pengibaran bendera bukan sekadar tradisi tetapi simbol perpaduan, kecintaan dan penghargaan rakyat terhadap negara.
- Program Ekspresi Jalur Gemilang JAPEN@PETRONAS 2026 dilaksanakan serentak di 15 stesen; 200 kenderaan terawal dapat magnet Jalur Gemilang percuma.
Pengarahnya, Ahmad Ammar Othman, berkata kempen berkenaanpenting dalam menggalakkan masyarakat untuk mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman, premis perniagaan, kenderaan dan tempat awam.
Jelas beliau, pengibaran Jalur Gemilang bukan sekadar tradisi sambutan Bulan Kebangsaan, malah menjadi simbol perpaduan, kecintaan serta penghargaan rakyat terhadap negara.
“Saya menyeru semua penduduk di Kelantan supaya memasang bendera di setiap rumah kerana itu tanda patriotisme kepada negara kita.
“JAPEN akan sentiasa melaksanakan program di peringkat daerah bersama komuniti dan masyarakat supaya kita dapat menggelorakan lagi semangat Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia,” katanya demikian pada program Ekspresi Jalur Gemilang JAPEN@PETRONAS 2026 disini hari ini.
Tambahnya, program Ekspresi Jalur Gemilang JAPEN@PETRONAS 2026 dilaksanakan serentak di 15 stesen PETRONAS terpilih di seluruh negara.
Menerusi program tersebut, kira-kira 200 kenderaan terawal di setiap stesen minyak menerima magnet Jalur Gemilang secara percuma sebagai galakan untuk bersama-sama menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan.