
KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu terus diberi sokongan dalam melaksanakan peranan sebagai bapa, khususnya bagi mengimbangi tuntutan tugas mempertahankan negara dengan tanggungjawab terhadap keluarga.
- Pelaksanaan Dasar KASIH Keluarga Negara (DKKN) memperkukuh institusi keluarga dan menegaskan peranan bapa sebagai pemimpin dalam keluarga.
- Cabaran keluarga semakin kompleks akibat teknologi dan perubahan gaya hidup, menjejaskan kesejahteraan emosi serta hubungan kekeluargaan.
- LPPKN melaksanakan Modul Kebapaan berfokus kepimpinan, kesejahteraan psikologi, komunikasi berkesan dan jaringan sokongan sosial.
- Jaringan Pemerkasaan Lelaki (MEN) tambah latihan pengurusan konflik dan kesihatan mental; kerjasama semua pihak penting untuk menyokong ibu bapa.
Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, sokongan itu penting memandangkan tuntutan tugas anggota ATM ada kalanya memerlukan mereka berjauhan daripada anak-anak dan keluarga untuk tempoh tertentu.
“Mereka telah memberikan sumbangan dan pengorbanan kepada negara. Jadi, untuk memperkasakan mereka, kita mahu memberikan sokongan kepada mereka sebagai seorang bapa.
“Jadi, kita wujudkan Dasar KASIH Keluarga Negara (DKKN) untuk memperkukuh institusi keluarga dengan sokongan yang ada, terutamanya sokongan daripada golongan lelaki. Kita mahu bapa turut memainkan peranan untuk mengukuhkan dan memperkasakan keluarga serta merealisasikan bahawa peranan seorang bapa itu penting sebagai pemimpin dalam keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Sambutan Hari Bapa Tahun 2026 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Bersama Warga ATM di Kem Perdana Sungai Besi, hari ini.
Datuk Seri Dr Wan Azizah berkata, usaha memperkukuh institusi keluarga menerusi DKKN turut penting dalam memastikan golongan bapa mendapat sokongan yang sewajarnya dalam mendepani cabaran keluarga dan kerjaya.
Beliau yang juga isteri Perdana Menteri berkata, cabaran membina keluarga kini semakin kompleks berikutan perkembangan teknologi serta perubahan gaya hidup yang turut memberi kesan kepada kesejahteraan emosi dan hubungan kekeluargaan.
Berdasarkan Tinjauan Pendapat Umum Sempena Sambutan Hari Bapa Kebangsaan 2025, sebanyak 81.7 peratus bapa menyatakan keseimbangan kerja dan kehidupan sebagai cabaran utama, manakala 79.7 peratus berdepan kos sara hidup yang tinggi.
Sehubungan itu, kerajaan melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) turut melaksanakan Modul Kebapaan yang memberi fokus kepada kepimpinan, kesejahteraan psikologi, komunikasi berkesan dan jaringan sokongan sosial.
Jaringan Pemerkasaan Lelaki atau MEN Empowerment Network turut dilaksanakan bagi memperkukuh penglibatan golongan lelaki dalam institusi keluarga, termasuk menerusi latihan pengurusan konflik dan kesihatan mental.
Beliau turut menambah, usaha memperkukuh institusi keluarga memerlukan kerjasama semua pihak bagi menyediakan persekitaran yang menyokong ibu bapa dalam membesarkan generasi masa depan.