Jelajah AKAR 2026 perkasa literasi kewangan generasi muda

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) komited memperkukuh budaya menabung dan pembangunan modal insan menerusi kerjasama strategik dengan penganjuran program Jelajah Anugerah Kreatif Aspirasi Reka (AKAR) 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program berskala nasional berjalan 13 Julai hingga 25 September 2026 di 14 negeri, anjuran Yayasan KRU bersama KPM, KEMAS dan JPNIN.
  • Penyampaian akaun Simpan SSPN RM48,200 kepada 482 murid di Pulau Pinang, setiap penerima RM100 galakan menabung.
  • Jelajah AKAR membentuk generasi berilmu, kreatif, berintegriti dan bersedia dari segi perancangan kewangan untuk pendidikan tinggi.

Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, inisiatif berkenaan selaras dengan aspirasi agensi berkenaan membudayakan amalan menabung menerusi Simpan SSPN, mencungkil bakat kreatif murid, serta meningkatkan kesedaran perancangan kewangan pendidikan sejak usia muda.

“Program Jelajah AKAR 2026 merupakan inisiatif yang amat bertepatan dengan aspirasi negara dalam melahirkan generasi muda yang seimbang daripada aspek ilmu pengetahuan, kreativiti, sahsiah serta penghayatan nilai-nilai murni.”

“Inisiatif seperti ini diyakini dapat membantu membentuk generasi yang bukan sahaja kreatif dan berdaya saing, malah bertanggungjawab terhadap kelestarian alam sekitar,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan.

Program berskala nasional yang berlangsung dari 13 Julai hingga 25 September 2026 di 14 buah negeri ini dianjurkan oleh Yayasan KRU dengan kerjasama PTPTN, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) serta Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).

Dalam satu program AKAR di Pulau Pinang, PTPTN telah menyalurkan sumbangan akaun Simpan SSPN berjumlah RM48,200 kepada 482 orang murid yang terlibat.

Setiap penerima menerima RM100 sebagai galakan untuk memulakan amalan menabung dan membuat persediaan kewangan bagi pendidikan tinggi sejak usia muda.

Program Jelajah AKAR 2026 diharapkan akan terus menjadi platform strategik dalam melahirkan generasi modal insan yang berkualiti, berdaya saing, serta bersedia daripada segi ilmu dan perancangan kewangan bagi melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.