
KUALA LUMPUR, 8 Ogos- Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan kementerian dan agensi berkaitan supaya memperkukuh kawalan serta tahap keselamatan di semua lapangan terbang dan pintu masuk negara bagi membendung kegiatan penyeludupan dadah serta jenayah rentas sempadan.
- Perkukuh keselamatan pintu masuk negara melalui penguatkuasaan, pemantauan berterusan dan kerjasama erat antara agensi berkaitan.
- Seri Paduka berkenan menerima menghadap Perdana Menteri dan menerima taklimat RCI berkaitan Lembaga Tabung Haji dan FELDA.
- Titah supaya siasatan dijalankan secara menyeluruh dan tidak berkompromi terhadap mana-mana pihak yang bersalah.
- Arahan siasatan sehingga ke lubang cacing bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil dan mengelakkan perkara berulang.
Seri Paduka Baginda bertitah aspek keselamatan di pintu masuk negara perlu sentiasa diperkasa menerusi penguatkuasaan lebih berkesan, pemantauan berterusan serta kerjasama erat antara semua agensi berkaitan.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan yang berlangsung lebih satu jam di Istana Bukit Tunku, di sini, hari ini.
Pertemuan itu turut menyaksikan Seri Paduka Baginda berkenan dipersembahkan taklimat mengenai Laporan Siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH), selain isu semasa membabitkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).
Sultan Ibrahim bertitah supaya siasatan berhubung perkara berkenaan dilaksanakan secara menyeluruh dan tidak berkompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.
“Jangan ada yang terlepas daripada tindakan sekiranya benar-benar didapati bersalah. Yang penting, perkara seperti ini tidak boleh berulang,” titah Seri Paduka Baginda kepada Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor (RPO) yang turut dikongsi menerusi Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Seri Paduka Baginda turut bertitah supaya siasatan dijalankan “sehingga ke lubang cacing” bagi memastikan setiap pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan sewajarnya, selain memastikan perkara sama tidak berulang pada masa akan datang.
“Jangan ada yang terlepas daripada tindakan sekiranya benar-benar didapati bersalah,” titah Seri Paduka Baginda.