
KUALA LUMPUR, 8 Ogos – Kualiti udara di beberapa kawasan dalam negara merosot hari ini susulan pergerakan asap jerebu daripada pelbagai arah.
- Lima lokasi di Sarawak merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat.
- JAS mempertingkat penguatkuasaan dan rondaan, serta mengaktifkan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka dan Pelan Tindakan Jerebu.
- Arahan keselamatan: hentikan aktiviti luar jika IPU melebihi 100; Jawatankuasa bencana diaktifkan jika IPU melebihi 150 selama 24 jam; sekolah ditutup jika IPU melebihi 200.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) memaklumkan, lima lokasi di Sarawak merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat.
Setakat 8 pagi, IPD Serian mencatat bacaan tertinggi iaitu 171, diikuti Kuching dan Samarahan masing-masing 154, Sri Aman (139) serta Bintulu (124).
Manakala 60 kawasan lain di seluruh negara merekodkan kualiti udara sederhana manakala tiga berada pada tahap baik.
“Selaras dengan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, semua aktiviti di luar bilik darjah perlu dihentikan apabila bacaan IPU melebihi 100,” menurut JAS dalam satu kenyataan.
Berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC), sebanyak 643 titik panas dikesan di Kalimantan, 17 di Sumatera dan 25 dalam negara.
Daripada keseluruhan jumlah titik panas di Malaysia, sebanyak 22 dikesan di Sarawak, dua di Selangor dan satu di Terengganu.
JAS berkata, kepulan asap sederhana hingga tebal dikesan di Kalimantan Barat dan bergerak ke arah utara memasuki bahagian barat Sarawak.
“Susulan keadaan itu, JAS meningkatkan penguatkuasaan dan rondaan harian di kawasan yang berpotensi berlaku pembakaran terbuka, selain mengaktifkan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan serta Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan,” menurut kenyataan sama.
Mengikut pelan berkenaan, Jawatankuasa Pengurusan Bencana akan diaktifkan sekiranya bacaan IPU melebihi 150 bagi tempoh lebih 24 jam.
Sekolah, tadika dan taska pula perlu ditutup serta-merta apabila IPU melebihi 200, manakala Operasi Pembenihan Awan boleh dilaksanakan jika bacaan melebihi 150 selama lebih 24 jam, tertakluk keadaan cuaca serta kehadiran awan yang sesuai.
Orang ramai diingatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan sentiasa memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa.