Wan Kuzain dijangka isi kesebelasan utama Harimau Malaya menentang Filipina

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Pemain tengah, Wan Kuzain Wan Kamal dijangka membuat penampilan sulung dalam kesebelasan utama Harimau Malaya dalam aski terakhir Kumpulan B Piala ASEAN 2026 menentang Filipina di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, esok.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mencuri perhatian ketika masuk sebagai pemain gantian membantu Malaysia menewaskan Myanmar 2-1.
  • Persembahan kukuh sepanjang kem latihan kebangsaan meningkatkan harapan penyokong terhadapnya.
  • Menyertai sidang media pra perlawanan bersama jurulatih interim Tan Cheng Hoe hari ini.
  • Menyarung jersi Malaysia memenuhi impian dirinya dan keluarga, dia berjanji berjuang sehabis mungkin.

Pemain berusia 28 tahun yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu sebelum ini mencuri perhatian ramai selepas membuat penampilan pertama sebagai pemain gantian ketika membantu Malaysia menewaskan Myanmar 2-1.

Persembahan meyakinkan sepanjang kem latihan bersama skuad kebangsaan turut meningkatkan harapan penyokong terhadapnya.

Keadaan semakin jelas apabila dia menyertai sidang media pra perlawanan bersama Jurrlatih Interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, hari ini.

Wan Kuzain berkata, peluang menyarung jersi Malaysia amat bermakna kerana ia bukan sahaja memenuhi impiannya, malah impian yang turut dikongsi seluruh keluarganya.

“Saya peminat bola sepak Malaysia. Jadi sekarang, apabila saya diberi peluang untuk menyarung jersi kebangsaan, mewakili negara dan keluarga, saya akan memberikan segala-galanya.

“Saya akan berjuang habis-habisan. Peluang ini amat, amat bermakna buat saya dan keluarga. Bukan sahaja dapat mewakili pasukan, tetapi juga mewakili negara” katanya.

Katanya, walaupun pengalamannya dalam bola sepak Malaysia masih terhad, segala yang dilalui sepanjang kem latihan kebangsaan memberikan gambaran positif terhadap standard pasukan.

Menurutnya, aspek profesionalisme yang ditunjukkan sama ada di dalam mahupun di luar padang setanding dengan apa yang pernah dialaminya.

“Semua ini merupakan pengalaman baharu buat saya. Menjadi sebahagian daripada pasukan ini dan melihat sendiri tahap profesionalisme yang ditunjukkan, sama ada di dalam mahupun di luar padang, sememangnya bertaraf dunia.

“Ia mungkin bukan sesuatu yang saya jangkakan, tetapi itulah standard profesionalisme yang biasa saya alami ketika berada di Amerika Syarikat,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.