
NEW YORK, 23 September – Iran menetapkan beberapa syarat kepada Amerika Syarikat (AS) sebelum membuka semula Selat Hormuz.
- Penamatan sekatan laut AS dinyatakan sebagai salah satu syarat Tehran.
- Pembebasan aset Iran yang dibekukan turut menjadi tuntutan Tehran.
- Penamatan perang di rantau itu di semua medan termasuk Lubnan; MoU Jun mengatur rundingan 60 hari tamat 17 Ogos.
- Perbincangan dilakukan melalui pengantara Qatar; delegasi kedua-dua negara mengadakan rundingan panjang, tiga jam, dan merancang pertemuan lanjut.
Perkara berkenaan termasuk penamatan sekatan laut AS, pembebasan aset Iran yang dibekukan serta penamatan perang di rantau itu di semua medan.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei, berkata perkara itu disampaikan kepada pihak AS dalam pertemuan Menteri Luar Iran, Seyed Abbas Araghchi, dengan utusan Presiden AS, Steve Witkoff, di luar persidangan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) ke-81 di New York pada Selasa.
Menurut Baghaei, penamatan sekatan laut AS dan pembebasan aset Iran yang dibekukan merupakan antara syarat Tehran bagi membolehkan laluan perairan strategik itu dibuka semula.
Witkoff dalam hantaran di media sosial pada Selasa berkata pihak AS mengadakan “perbincangan panjang” dengan delegasi Iran menerusi pengantara, Qatar.
Beliau berkata Washington berharap rundingan itu akan menghasilkan perkembangan yang “ “positif dan menjanjikan”.
Sementara itu, Presiden AS Donald Trump mengesahkan pegawai kedua-dua negara mengadakan perbincangan selama tiga jam pada Selasa dan merancang mengadakan satu lagi pertemuan dalam masa terdekat.
Pada Jun lepas, AS dan Iran menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi menamatkan perang di rantau itu di semua medan, termasuk Lubnan.
Berdasarkan MoU berkenaan, kedua-dua pihak dijadual mengadakan rundingan dalam tempoh 60 hari yang berakhir pada 17 Ogos bagi mencapai persetujuan muktamad.
Bagaimanapun, hala tuju rundingan itu kekal tidak jelas susulan beberapa siri ketegangan antara kedua-dua negara.
Selepas serangan AS-Israel terhadap Iran pada 28 Februari, Tehran mengehadkan laluan kapal melalui Selat Hormuz, manakala tentera AS mengenakan sekatan laut terhadap kapal yang bergerak atau menuju ke pelabuhan Iran.
Selat Hormuz merupakan laluan strategik yang penting bagi penghantaran minyak dan perdagangan tenaga global. – REUTERS.