
KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Harimau Malaya perlu meraih tiga mata penuh ke atas Filipina dalam aksi terakhir Kumpulan B menentang Filipina di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, esok bagi mencerahkan laluan ke saingan separuh akhir.
- Tempoh pemulihan tambahan penting untuk memastikan pemain segar dari segi mental dan fizikal selepas jadual padat.
- Harimau Malaya perlu lebih klinikal di kawasan lawan serta mengekalkan tempo dan intensiti permainan.
- Ketiadaan Jimmy dan Endrick memaksa rombakan di tengah, dengan Wan Kuzain semakin serasi sebagai pilihan pengganti.
Beraksi di hadapan penyokong sendiri, skuad negara bukan sahaja memburu kemenangan, malah perlu mengelak kekalahan yang bakal menyaksikan mereka terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada saingan edisi kali ini.
Malaysia ketika ini berada di kedudukan ketiga Kumpulan B dengan enam mata dan kemenangan ke atas Filipina menjadi fokus utama bagi memastikan tiket ke separuh akhir berada dalam genggaman.
Jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berkata, tempoh pemulihan tambahan yang diperoleh skuad negara menjadi perkara penting dalam memastikan pemain lebih segar dari segi mental dan fizikal selepas mengharungi jadual padat.
“Kami tahu kadangkala tubuh badan memerlukan tempoh pemulihan yang baik kerana mereka telah beraksi dalam tiga perlawanan berturut-turut tanpa henti.
“Diharapkan pemain kami segar dari segi mental dan fizikal. Persediaan adalah paling penting,” katanya, dalam sidang media pra perlawanan, hari ini.
Cheng Hoe berkata, selain memastikan pemain berada pada tahap terbaik, Harimau Malaya perlu lebih klinikal ketika berada di kawasan lawan bagi memanfaatkan setiap peluang yang hadir.
“Pada masa sama, kami perlu memanfaatkan peluang dan lebih klinikal di kawasan lawan. Kami perlu mengekalkan tempo dan intensiti permainan yang baik menentang Filipina nanti,” katanya.
Sementara itu, kehilangan Jimmy Raymond dan Endrick Dos Santos yang tidak dapat beraksi ketika menentang Thailand baru-baru ini memerlukan perubahan di bahagian tengah.
“Kita tahu Jimmy Raymond mengalami kecederaan ketika menentang Thailand, jadi sudah tentu kami perlu mencari pengganti yang sesuai untuknya. Pada masa yang sama, tiada perancangan khas untuk mengejutkan Filipina.
“Dalam masa yang sama, kami melihat Wan Kuzain semakin serasi dengan pasukan dan mempamerkan aksi yang baik.
“Kami akan menilai sama ada mengekalkan kesebelasan utama yang sama atau melakukan sedikit perubahan,” katanya.