Malaysia siasat dakwaan lambakan produk keluli dari China, Taiwan dan Vietnam

Foto Fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Malaysia memulakan siasatan duti anti-lambakan terhadap import produk keluli dari China, Taiwan dan Vietnam susulan petisyen dikemukakan pengeluar tempatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Petisyen NS Bluescope diterima 19 Jun, membabitkan gulungan rata keluli aloi dan bukan aloi disadur atau disalut aluminium dan zink.
  • Pempetisyen dakwa import dijual lebih rendah daripada harga domestik dan peningkatan kuantiti menyebabkan kemudaratan material kepada pengeluar tempatan.
  • Siasatan dijalankan di bawah Akta Duti Balas dan Anti-Lambakan 1993; penentuan awal dalam 120 hari; pihak berkepentingan mesti hantar bukti sebelum 17 Ogos.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memaklumkan, petisyen daripada NS Bluescope Malaysia Sdn Bhd diterima pada 19 Jun lalu membabitkan produk gulungan rata keluli aloi lain dan keluli bukan aloi yang disadur atau disalut aluminium dan zink.

“Pempetisyen mendakwa import dagangan terbabit yang berasal atau dieksport dari negara berkenaan dijual pada harga lebih rendah berbanding harga jualan domestik di pasaran masing-masing.

“Peningkatan import dari segi kuantiti mutlak turut didakwa menyebabkan kemudaratan material kepada syarikat berkenaan,” menurut kenyataan itu.

MITI memulakan siasatan selepas menilai maklumat dan bukti berkaitan dakwaan lambakan, kemudaratan serta hubung kait antara kedua-duanya.

Siasatan dijalankan mengikut Akta Duti Balas dan Anti-Lambakan 1993 serta Peraturan-Peraturan Duti Balas dan Anti-Lambakan 1994.

Tempoh penentuan kemudaratan meliputi tiga tahun dari 1 Januari 2023 hingga 31 Disember 2025, manakala tempoh penyiasatan ditetapkan antara 1 Januari hingga 31 Disember 2025.

Penentuan awal akan dibuat dalam tempoh 120 hari dari tarikh siasatan dimulakan.

“Sekiranya penentuan awal bersifat afirmatif, kerajaan akan mengenakan duti anti-lambakan sementara pada kadar yang diperlukan bagi mengelakkan kemudaratan terhadap industri tempatan daripada berterusan,” menurut kenyataan sama.

Pihak berkepentingan diminta mengemukakan pandangan bertulis, jawapan soal selidik dan bukti sokongan melalui Sistem Pengurusan Siasatan Remedi Perdagangan selewat-lewatnya pada 17 Ogos ini.

MITI memaklumkan, kegagalan mengemukakan maklumat mencukupi dalam tempoh ditetapkan boleh menyebabkan penentuan dibuat berdasarkan fakta sedia ada.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.