
IPOH, 5 Ogos – Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) merekodkan 813 tangkapan menerusi pelbagai operasi penguatkuasaan di Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis sehingga 4 Ogos lalu.
- Jumlah tangkapan meningkat 21 peratus berbanding tahun lalu, menunjukkan peningkatan aktiviti penguatkuasaan.
- Operasi bersepadu Khazanah rekodkan peningkatan kes dan tangkapan, nilai rampasan melonjak daripada RM2.27 juta kepada RM56.86 juta.
- Kerjasama risikan antara agensi dan maklumat orang awam dipuji sebagai faktor utama memperkukuh tindakan penguatkuasaan.
Jumlah itu meningkat 21 peratus berbanding 672 tangkapan dalam tempoh sama tahun lalu.
Komander Briged Utara PGA, SAC Balveer Singh Mahindar Singh berkata, sebanyak 389 kes direkodkan tahun ini berbanding 291 kes tahun lalu, iaitu peningkatan 33.68 peratus.
Beliau berkata, peningkatan itu hasil kerjasama risikan antara agensi penguat kuasa dan orang ramai yang menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan menyalahi undang-undang.
“Ia membuktikan keberkesanan kerjasama strategik antara pegawai dan anggota Briged Utara PGA, risikan berterusan serta maklumat yang disalurkan orang awam dalam memperkukuh tindakan penguatkuasaan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Mengulas lanjut mengenai pencapaian operasi, beliau berkata, operasi sekatan jalan raya turut menunjukkan peningkatan apabila 75 kes dengan 89 tangkapan direkodkan tahun ini, berbanding 24 kes dan 30 tangkapan bagi tempoh sama tahun lalu.
Selain itu, Op Bersepadu Khazanah yang dilaksanakan bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Jabatan Perhutanan, Jabatan Mineral dan Geosains serta Pejabat Tanah dan Galian merekodkan 38 kes tahun ini berbanding 17 kes dalam tempoh sama pada 2025.
“Operasi itu turut mencatatkan 63 tangkapan berbanding 27 tangkapan pada tahun lepas, manakala nilai rampasan meningkat mendadak daripada RM2.27 juta kepada RM56.86 juta, iaitu peningkatan kira-kira 2,404 peratus,” katanya.
Sementara itu, SAC Balveer Singh berkata, bagi kes di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM), sebanyak 11 kes direkodkan tahun ini berbanding enam kes dalam tempoh sama tahun lepas.
Katanya, jumlah tangkapan di bawah akta itu meningkat daripada 12 kepada 14 orang, manakala nilai rampasan turut meningkat daripada RM308,000 kepada RM465,000 dalam tempoh sama.