
JOHOR BAHRU, 5 Ogos – Polis menumpaskan sindiket memproses dan mengedar katrij vape mengandungi dadah bernilai RM10.68 juta menerusi lima serbuan serentak di Kulai, Johor Bahru dan Muar, Ahad lalu.
- Tujuh suspek berusia 36 hingga 46 tahun ditahan, termasuk lima lelaki tempatan serta seorang lelaki dan seorang wanita warga asing.
- Polis merampas 210.43 kg cecair vape disyaki mengandungi methamphetamine, kokain, ketamin, heroin, Erimin 5 dan ekstasi.
- Sindiket aktif sejak Februari, menggunakan kondominium untuk pembungkusan; mesin pengisian dan tiga kenderaan dirampas, semua suspek direman di bawah Seksyen 39B.
Timbalan Ketua Polis Johor, DCP Hoo Chuan Huat, berkata, dalam operasi itu, tujuh individu berusia antara 36 hingga 46 tahun, terdiri daripada lima lelaki warga tempatan, seorang lelaki dan seorang wanita warga asing, ditahan.
Dalam kesemua sebuan tersebut, polis turut merampas sebanyak 210.43 kilogram (kg) cecair vape yang disyaki mengandungi methamphetamine, kokain, ketamin, heroin, Erimin 5 dan ekstasi yang dianggarkan boleh disalah guna oleh 649,096 penagih.
Katanya, siasatan mendapati sindiket itu aktif sejak Februari lalu dengan setiap suspek mempunyai peranan masing-masing.
“Suspek pertama bertindak sebagai penghantar, suspek kedua ialah isteri kepada suspek pertama, manakala suspek ketiga menjaga stor serta membungkus dan mengisi cecair vape.
“Suspek keempat berperanan sebagai penghantar, suspek kelima menerima bungkusan barangan, suspek keenam membantu suspek ketujuh, manakala suspek ketujuh adalah dalang utama sindiket,” katanya.
Beliau berkata, sindiket itu menggunakan sebuah kondominium sebagai pusat pembungkusan dan pengisian cecair vape sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
Polis turut merampas mesin pengisian cecair vape, peralatan memproses dadah serta menyita tiga kenderaan bernilai keseluruhan RM120,000.
Dua suspek didapati positif methamphetamine, manakala empat lagi mempunyai rekod jenayah dan dadah.
Katanya, semua suspek direman selama tujuh hari bermula hingga 9 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.