Tiga lagi individu direman disyaki seleweng caj penalti RM450,000

Foto Fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman tiga lagi individu yang disyaki bersubahat menyeleweng caj Notis Penalti (NOP) berjumlah kira-kira RM450,000 membabitkan sebuah syarikat hartanah yang merupakan anak syarikat kepada sebuah badan berkanun.

RINGKASAN BERITA AI
  • Suspek terdiri daripada timbalan pengurus besar pembinaan, pengurus keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta pengarah projek syarikat.
  • Perintah reman lima hari sehingga 9 Ogos dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya.
  • Suspek ditahan ketika hadir di Ibu Pejabat SPRM kira-kira pukul 6.00 petang semalam.
  • Siasatan awal mendapati mereka dipercayai bersubahat antara 2017 hingga 2019; penahanan susulan semakan Pasukan Khas terhadap RCI Tabung Haji.

Ketiga-tiga suspek terdiri daripada seorang timbalan pengurus besar pembinaan, pengurus keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta pengarah projek syarikat berkenaan.

Perintah reman selama lima hari sehingga 9 Ogos dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

Menurut sumber SPRM, kesemua suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditahan ketika hadir di Ibu Pejabat SPRM kira-kira pukul 6.00 petang semalam.

“Siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek dipercayai bersubahat melakukan perbuatan tersebut antara 2017 hingga 2019,” menurut sumber itu.

Penahanan reman itu merupakan susulan siasatan Pasukan Khas yang ditubuhkan bagi menyemak dan meneliti dapatan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji yang didedahkan kepada umum menerusi portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 29 Julai lalu.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.