Pegawai JBPM didakwa atas tiga pertuduhan rasuah

Foto BERNAMA

ALOR SETAR, 4 Ogos – Seorang pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM11,500 bagi mendapatkan surat sokongan pelesenan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Johari Bar Azwar, 40 tahun, mengaku tidak bersalah.
  • Pada April 2024 didakwa menerima RM1,500 daripada pemilik syarikat untuk surat sokongan pelesenan.
  • Pada Februari 2025 didakwa meminta dan menerima RM10,000 bagi mendapatkan surat sokongan pelesenan untuk dua syarikat.
  • Dakwaan bawah Seksyen 17(a) dan 16(a)(B) Akta SPRM; hukuman maksimum 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali nilai suapan atau RM10,000.

Johari Bar Azwar, 40 tahun, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Priscilla Hemamalini Nadarajan.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa menerima RM1,500 daripada seorang pemilik syarikat sebagai dorongan mendapatkan Surat Sokongan Pelesenan JBPM pada April 2024.

Bagi dua lagi pertuduhan, dia didakwa meminta dan menerima RM10,000 daripada seorang pemilik syarikat bagi mendapatkan surat sokongan pelesenan untuk dua syarikat pada Februari 2025.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan didenda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM16,000 bersama dua penjamin dan menetapkan 9 September ini untuk sebutan semula kes.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.