
KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Sebanyak 11 penunggang motosikal maut dalam kemalangan jalan raya sepanjang empat hari program RXZ Members dari 30 Julai hingga 2 Ogos lalu.
- 46 kes kemalangan motosikal direkodkan; termasuk lima parah dan 30 ringan.
- Golongan 18 hingga 30 tahun paling banyak terlibat, dengan kumpulan 21-30 menunjukkan penglibatan tertinggi.
- Jenis kemalangan utama: langgar belakang paling tinggi, diikuti terbabas sendiri; faktor penyumbang termasuk kecuaian dan mengekori terlalu rapat.
- Nasihat dan tindakan: patuhi had laju, kekal jarak selamat, elak aksi berbahaya; penganjur perlu sediakan pelan dan taklimat keselamatan.
Dalam tempoh sama, lima kes kemalangan parah dan 30 kes kemalangan ringan turut direkodkan.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), CP Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, sebanyak 46 kes kemalangan membabitkan penunggang motosikal direkodkan sepanjang tempoh itu.
Menurutnya, jumlah kemalangan tertinggi direkodkan pada 31 Julai dengan 16 kes, diikuti 15 kes pada 2 Ogos, 11 kes pada 1 Ogos dan empat kes pada 30 Julai.
“Golongan berusia 21 hingga 30 tahun paling ramai terlibat dalam kemalangan iaitu seramai 19 orang.
“Diikuti, 10 penunggang berusia 18 hingga 20 tahun, sembilan penunggang berusia 41 hingga 50 tahun dan lapan penunggang berusia 31 hingga 40 tahun,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Muhammed Hasbullah berkata, secara keseluruhan, 29 daripada 46 penunggang merekodkan mereka yang berusia antara 18 hingga 30 tahun.
Katanya, penunggang berusia 20 tahun mencatatkan penglibatan tertinggi iaitu seramai tujuh orang.
Dari aspek jantina, seramai 44 mangsa adalah lelaki manakala dua lagi perempuan.
Mengulas jenis kemalangan, beliau berkata, kemalangan langgar belakang mencatatkan jumlah tertinggi dengan 21 kes, diikuti terbabas sendiri sebanyak 15 kes.
Manakala bagi kemalangan langgar sebelah tepi sebanyak tujuh kes dan bergesel tiga kes.
“Antara faktor yang dikenal pasti menyumbang kepada kemalangan ialah kecuaian, kegagalan mengawal kenderaan, mengekori terlalu rapat serta menunggang secara tidak selamat,” katanya.
Beliau berkata, JSPT memandang serius jumlah kemalangan maut dan parah yang berlaku terutama membabitkan penunggang motosikal golongan muda.
Sehubungan itu, penunggang motosikal dinasihatkan supaya mematuhi had laju, mengekalkan jarak selamat serta mengelakkan pergerakan secara berkumpulan yang tidak terkawal.
Mereka turut diingatkan supaya tidak berlumba atau melakukan aksi berbahaya yang boleh mengancam keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain.
Dalam pada itu, penganjur program atau perhimpunan bermotosikal disaran menyediakan pelan pergerakan teratur, memberi taklimat keselamatan kepada peserta serta bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi mengurangkan risiko kemalangan.