Mayat lelaki tanpa identiti ditemukan terapung di perairan Tanjung Hantu

Bot Penggalang 1639 digerakkan ke lokasi penemuan mayat bagi menjalankan pengesahan dan tindakan lanjut./ MARITIM MALAYSIA

LUMUT, 2 Ogos – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak menemukan mayat seorang lelaki tanpa identiti yang terapung di perairan Tanjung Hantu, Pulau Pangkor, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pusat Operasi menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.31 pagi mengenai penemuan kira-kira 1.3 batu nautika di barat daya Tanjung Hantu.
  • Bot Penggalang 1639 digerakkan tiba pada 11.22 pagi dan mengesahkan mayat lelaki dipercayai warga Indonesia berpakaian baju hitam serta seluar pendek.
  • Mayat pertama ditemui oleh bot pancing kira-kira 1.4 batu nautika barat Tanjung Hantu, dibawa ke Jeti Perikanan Kampung Acheh dan diserahkan kepada PDRM.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Negeri Perak menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.31 pagi berhubung penemuan mayat berkenaan di kedudukan kira-kira 1.3 batu nautika di barat daya Tanjung Hantu.

Menurut beliau, sejurus menerima maklumat, Bot Penggalang 1639 digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pengesahan dan tindakan lanjut.

“Bot berkenaan tiba di lokasi pada pukul 11.22 pagi sebelum mengesahkan penemuan mayat seorang lelaki yang dipercayai warga Indonesia, berpakaian baju berwarna hitam dan berseluar pendek,” katanya dalam satu kenyataan.

Foto MARITIM MALAYSIA

Siasatan awal mendapati mayat berkenaan terlebih dahulu ditemukan oleh sebuah bot pancing di kedudukan kira-kira 1.4 batu nautika di barat Tanjung Hantu sebelum maklumat disalurkan kepada Maritim Malaysia.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Jeti Perikanan Kampung Acheh sebelum diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk proses pengecaman identiti, bedah siasat serta siasatan lanjut.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.