
SEPANG, 1 Ogos – Jaguh angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan tidak mahu terlalu lama meraikan kejayaan meraih emas pada Sukan Komanwel Glasgow 2026, sebaliknya terus mengalihkan tumpuan kepada persiapan menghadapi Sukan Asia, bulan depan.
- Persiapan singkat namun Aniq yakin kerana pengalaman mengharungi jadual pertandingan padat sebelum ini.
- Akan meluangkan kira-kira seminggu bersama keluarga di Johor sebelum kembali menjalani latihan.
- Menetapkan sasaran memperbaharui rekod kebangsaan dan memburu pingat walaupun berdepan pencabar bertaraf Olimpik.
- Temasya jadi penampilan terakhirnya dalam kategori 60kg sebelum beralih ke kategori 65kg untuk kelayakan Olimpik.
Mohamad Aniq berkata, tempoh persiapan kali ini agak singkat berbanding kebanyakan pesaing, namun pengalaman mengharungi jadual pertandingan yang padat sebelum ini memberinya keyakinan untuk menyesuaikan diri.
“Persiapan agak singkat berbanding negara lain yang membuat persediaan dua hingga tiga bulan kerana kita baru sahaja selesai Sukan Komanwel.
“Namun, saya sudah biasa kerana sebelum ini kelayakan Olimpik juga berselang sebulan dua sahaja, jadi saya boleh menyesuaikan diri,” katanya.
Beliau ditemui pemberita sejurus tiba di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini.
Atlet berusia 24 tahun itu turut memaklumkan, beliau hanya akan meluangkan kira-kira seminggu bersama keluarga di Johor sebelum kembali menjalani latihan.
Mengulas sasaran di Sukan Asia, Mohamad Aniq mahu memperbaharui rekod kebangsaan dan memburu pingat meskipun bakal berdepan pencabar bertaraf Olimpik.
“Saya akan cuba perbaiki rekod kebangsaan dan buat sehabis baik. Pesaing lain memang kuat dan bertaraf Olimpik, tetapi saya tetap akan cuba memburu pingat,” katanya.
Menurut Mohamad Aniq, temasya itu juga bakal menjadi penampilan terakhirnya dalam kategori 60 kilogram (kg) sebelum beralih ke kategori 65kg dalam usaha memburu kelayakan ke Sukan Olimpik.
Beliau turut menghargai sokongan program Road to Gold (RTG), khususnya bantuan fisioterapi dan psikologi yang mempercepat proses pemulihannya.
Pada 26 Julai lalu, Mohamad Aniq menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia di Sukan Komanwel Glasgow 2026 menerusi kategori 61kg.
Beliau mencatat jumlah angkatan 273kg, terdiri daripada 121kg dalam snatch dan 152kg dalam clean and jerk, sekali gus memecahkan rekod temasya.